Monday, April 16, 2012

Cukur BERSIH 3.0

Hasil: Nur Adelia yang sudah 'licin'

             Berbekalkan 4 batang pencukur berjenama Schick biasa yang berharga RM1.50 setiap satu, akhirnya aku berjaya 'melicinkan' kepala Nur Adelia dari sebarang rambut-rambut dikepalanya itu. Makin lama ditunggu, makin lebat dibuatnya,justeru, pada usianya yang ke 19 hari itu, aku penuh nekad mencukuri kepala Nur Adelia.Mak mertua turut terlibat.

          Jikalau menurut sunnah Rasulullah S.A.W, pada hari ketujuh lagi sudah patut dicukurnya kepala bayi baru lahir itu.

           Peluh berciciran dan ketiak juga sudah hampir mejadi 'kolam'. Tempoh 1 jam 15 minit diharungi dengan jayanya walaupun hasilnya tak cantik macam Mak Bidan yang buat. Syukur.
.

Saturday, April 14, 2012

Pulut panggang Mak Cik Jah

Di suatu petang itu
Pada bulan Ramadhan yang lalu-entah hari yang ke berapa
Seperti biasanya akan menyusuri jalan lama -jalan 'short cut' bagi bahasa pasarnya
Dari Kulim ke Sungai Petani -melalui sabuah tempat bernama 'Sidam'

Sidam ini
Ada Kiri dan ada pula Kanan
Tapi untuk menuju ke Sungai Petani -perlu meyusuri yang sebelah Kiri
Nak dijadikan cerita
Terserempak dengan sabuah binaan separa siap- bersama dengan tuannya barangkali
Nak dikata rumah, tak juga
Nak dikata kedai, tidak pula
Nak dikata pondok, bukan juga
Binaan separa siap mungkin istilah yang sesuai dan lebih afdal
Letak binaan ini - betul-betul ditepi jalan, selepas jambatan

Rupanya setelah hampir masuk 2 bulan
Akhirnya baru aku tersedar
Akhirnya baru tergerak di hati ini
Untuk merenung dan ambil pot akan binaan itu- itupun kerana jalan agak sesak
Rupanya, di binaan itu adanya saorang insan tua -perempuan
Yang berdagang
Mencari rezeki dengan berdagang sesuatu
Dari jauh tidak berapa jelas 
Dikipas-kipasnya sesuatu itu
Rupanya pulut panggang 
Santapan kegemaran turun temurun

Lalu aku perlahankan kenderaan
Mata mencari-cari pot mana yang sesuai untuk meletak kenderaan
Buat persinggahan

Pertama kali bertentang mata dengan insan tua itu
Kurus,berbaju kurung, manis sekali senyumannya
Sekali-sekala menampakkan beberapa batang giginya yang sudah tiada
Sesudah menyapa dengan salam
lantas tanpa membuang masa
Menyatakan hajat untuk membeli 10 batang pulut panggang

Sambil menyiapkan pulut panggang itu
Beli untuk juadah berbuka nanti
Bertanya akan nama dan latar belakang insan tua itu
Bukannya untuk menyibuk -tapi kerana kagum dengan insan ini
Membahasakan dirinya dengan panggilan Mak cik Jah
Saorang ibu tunggal yang sudah berusia lewat 60an
Kini tinggal saorang diri
Menyara diri dengan berdagang pulut panggang
Anak-anak kesemuanya merantau
Paling hampir di Parit Buntar -katanya
Tapi dia tidak kesah
Boleh lagi tinggal saorang diri
Masa diisi dengan berdagang kecil-kecilan
Menjual pulut panggang

Perbualan tamat
Sejurus dihulurkan wang, bersama dengan akad
Salam diberi dan ucap selamat berbuka
Menyambung semula perjalanan ke Sungai Petani

******

Waktu berbuka
Selepas pekena kurma
Lantas tangan mencapai pulut panggang yang terhidang
Lega
Masih lagi panas
Aromanya semerbak

Segala Puji bagi Tuhan
Nikmatnya akan pulut panggang itu tak terkata
Sungguh enak dan berlemak sekali
Pulut panggang Mak Cik Jah ini
ditambah pula dengan isi kelapa pedas yang segar bugar
Perghh
Sekali cuba, pasti nak lagi !

Kau tunggu Mak Cik Jah !
Bila-bila masa
Akan aku singgah lagi
Di binaan separa siap tempat dimana kau berdagang itu....

Binaan separa siap kepunyaan Mak Cik Jah; diambil gambar semasa beliau cuti dari berdagang

.

Tuesday, April 10, 2012

Cerita seorang pemandu teksi

      
           Selasa lepas, aku mengambil cuti sehari dari bekerja makan gaji kerana membawa Sorfina ke klinik untuk pemeriksaan susulan selepas peranakan ataupun dalam omputihnya post natal treatment. Peluang cuti yang ada dapatlah aku bergelumang agak lama di ruangan sosial alam maya muka buku ataupun Fesbuk.

          Status daripada jurugambar professional yang aku hormati, minati dan ikuti menarik perhatian aku pada hari itu. Ini kerana abah aku sendiri pernah menjadi seorang pemandu teksi di Kuala Lumpur (ketika itu teksi masih lagi berwarna kuning dan hitam) sekitar tahun 1988 hingga tahun 1991 dahulu. 

         Abah pernah berkata, "Malaysia pada tahun 1987-1988 dahulu ekonominya gawat. Nak beli susu bagi hangpa makan pun perit masa tu." Susu berjenama 'Foremost' ketika itu agak mahal bagi seorang pemandu teksi untuk menyara sumber susu untuk aku dan Farhani (yang muda setahun dari aku);yang ketika masih kecil.

          Diharapkan agar kita semua dapat berbakti, menghayati, menghormati, mengambil pot, mendoakan dan apa sahaja benda baik demi kesejahteraan ibu bapa kita. Janganlah sesekali menyusahkan mereka. Peringatan dan perkongsian yang amat baik dari KB untuk aku dan hangpa secara amnya.


Friday, April 6, 2012

Gembira-Malaysia ranking ke 51

Ihsan dari Forbes

            Menurut kajian dan laporan yang dilakukan oleh Jeff Sachs,Richard Layard dan John Helliwell, Malaysia berada pada kedudukan yang ke 51 daripada 156 negara. Menurut laporan tersebut, kajian dilakukan sekitar dari tahun 2005 hingga ke 2011.

           Melalui pemerhatian aku, negara Fiji tidak ada dalam senarai. Ini kerana sebagai salah seorang peminat sukan ragbi, nama Fiji memang cukup terkenal dan begitu sinonim dengan sukan ini. Alih-alih tak ada dalam laporan. Mungkin negara dia ulu banat dan berada jauh di kepulauan Pasifik. Jauh untuk buat kajian.

            Mengikut pandangan mudah aku, faktor kegembiraan sesebuah negara mungkin sekali dipengaruhi oleh keadaan ekonomi sesebuah negara, kehidupan rakyat, gaji yang diterima rakyat,prasarana yang cukup,kesihatan, keberadaan rakyat sesebuah negara, keamanan sesebuah negara dan faktor iklim serta banyak mana bencana alam/musibah yang berlaku di sesebuah negara.

           Tapi itu pandangan aku lah, hangpa punya pandangan mungkin lain. Banyak lagi yang menyumbang kepada kegembiraan sesebuah negara; contohnya bidang pendidikan yang subur dan meluas ; serta hubungan sesama masyrakat dan pemimpin.

          Kesimpulan awal yang aku buat selepas melihat beberapa minit laporan tersebut, negara ranking atas kebanyakkannya dihuni negara dunia pertama dan yang di kedudukan bawah-bawahnya terdiri dari negara dunia ketiga.

          Aku pun tak mau tulis banyak, justeru, hangpa bacalah sendiri laporan yang disediakan tersebut. Aku taubat la tak baca, 160 muka surat tu habaq hang !

Notakaki :

World Happiness Report :http://www.huffingtonpost.ca/2012/04/03/world-happiness-report-ea_n_1400299.html

Laporan dalam bentuk fail PDF yang hangpa boleh baca : http://www.earth.columbia.edu/sitefiles/file/Sachs%20Writing/2012/World%20Happiness%20Report.pdf

ps : 
Dari Abu Hamzah yaitu Anas bin Malik al-Anshari katanya: Rasulullah S.A.W bersabda: "Niscayalah Allah itu lebih gembira dengan taubat hambaNya daripada gembiranya seseorang dari engkau semua yang jatuh dari atas untanya dan oleh Allah ia disesatkan di suatu tanah yang luas." [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim] - Sumber: kitab Riyadus Solihin; bab Taubat
.

Thursday, April 5, 2012

Petua

Seorang lelaki tua yang mungkin kaya dengan petuanya tersendiri


            Banyak ilmu-ilmu yang telah aku tuntut dan pelajari secara percuma serta telah amalkan sepanjang tempoh perkahwinan ini; terutamanya sepanjang tempoh Sorfina mengandung dan pasca bersalin.Secara jujurnya, banyak juga petua yang telah aku pelajari secara percuma di luar bilik kuliah; terutamanya di warung-warung ataupun di restoran mamak sebelum berkahwin. Kebanyakkannya berkisar tentang teknik-teknik 'tertentu' (yang boleh hangpa pelajari sendiri dari kitab Tajul Muluk) dan rahsia 'kekuatan' lelaki.Kuat tang mana tak perlulah aku tegaskan disini.

          Tapi secara jujurnya lagi aku tidak ambil pot sangat tentang 'teknik-teknik' itu dan petua 'kekuatan' lelaki kerana bagi aku cukup dengan menjaga pemakanan dan amalan kesihatan seperti bersenam dan gaya hidup aktif sudah memadai untuk menjadi lelaki 'sejati'; seperti yang diwar-warkan. Yang penting, wajiblah kita yakin bahawa segala kesihatan dan nikmat tubuh badan yang cergas itu datangnya dari Allah S.W.T.

          Berbalik kepada petua yang telah aku pelajari dan amalkan,tidaklah pula aku membuat kajian secara terperinci dan tidaklah pula aku menanyakan kepada para saintis, para ilmuan hatta melalui ahli bijak pandai yang ada dewasa kini. Cukup dengan carian melalui laman sesawang 'Google' yang sudi menghulur bantuan maklumat demi memperkukuhkan lagi petua yang telah aku dengari itu. Antaranya :

1) Menguatkan tubuh badan bagi perempuan mengandung - minum air 'nyok' atau air kelapa pandan
2) Mengurangkan kehilangan darah untuk perempuan bersalin - amalan makan buah Delima
3) Makanan yang baik untuk perempuan dalam tempoh mengandung - amalan makan buah kurma
4) Bayi yang mengalami 'Jaundice' ataupun kuning - beri susu ibu sebanyak mungkin selepas kelahiran, mandikan dengan air kucai, atau berikan bayi sedikit air buah sengkuang Cina
5) Bayi mengalami sedu - letak tisu basah (saiz kecil) atas dahi bayi tersebut
6) Makanan untuk ibu dalam tempoh berpantang selepas bersalin -  amalan makan ikan haruan, ikan jenahak, ikan tenggiri dan daging kambing/lembu

           InsyaAllah, aku yakin petua tersebut dapat memberi manfaat kepada kita semua.Dengan sedikit usaha yang kita lakukan,semoga Allah s.w.t memberi keizinan untuknya.Selamat beramal.
.

Wednesday, April 4, 2012

Padan muka, RON 97 naik lagi !

" Bukan saya yang umum na harga minyak naik lagi. Padan muka hangpa". -Bapa Dafi


Ihsan The Star online

Ihsan Utusan Meloya

Ihsan Berita Hairan


Ya Ampooonnn,
Ya Sabuuunnnn,
Ya Tambooonnn,

Ku cari-cari
Mana berita kenaikan harga minyak pada pagi ini
Sewaktu rehat makan pagi
Rupa-rupanya
Kecil sahaja ruangannya
Kecil sahaja beritanya

Tunggu punya tunggu
Satu habuk pun tarak
Pengumuman harga minyak naik daripada orang nombor satu
 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia.

Kehkehkehkehkehkehkehkehkehkehkeh

Nasib baik tak guna RON 97
.

Monday, April 2, 2012

Kematian orang Cina

            Semalam dan sejak hari Jumaat lepas, aku ternampak banyak kereta yang diletakkan di tepi-tepi jalan, di sekitar tanah perkuburan orang Cina. Ini kerana rumah mertua aku tidaklah jauh jaraknya dengan tanah perkuburan Cina ini. Bak kata orang lama, tempohnya cukup dengan dapat pekena sebatang rokok (perjalanan dengan berjalan kaki). Bagi yang tidak merokok, tempohnya mungkin dapat disamakan dengan menghabiskan 1 batang ais krim Pop-pop secara berhemat.

          Mertua aku mengatakan bahawa fenomena ini memang biasa berlaku setiap tahun. Bagi Muslim, kita bebas dan dianjurkan untuk menziarahi pusara ataupun kubur ibu bapa,saudara mara dan handai pada bila-bila masa, kerana ianya salah satu cara untuk kita mengingati kematian. Namun, kebanyakan Muslim sendiri hanya menziarahi pusara pada perayaan Aidlfitri sahaja, termasuklah apa yang diamalkan aku. Cett. Manakala, kaum Tiong Hua ataupun Cina beragama Buddha hanya berkunjung setahun sekali untuk melawat pusara nenek moyang mereka.

         Ulasan lebih lanjut dan perincian mengenai upacara melawat kubur nenek moyang ini dikukuhkan lagi dengan kenyataan dan penerangan yang disampaikan oleh rakan sekerja kilang aku pada waktu makan tengah hari tadi. Aku bertanyakan hal tersebut kepadanya kerana aku melihat peristiwa tersebut berlaku sepanjang hari Sabtu dan Ahad lepas.

Kawasan perkuburan orang Cina atau jirat Cina


         Rakan sekerja kilang aku itu seorang perempuan. Sebaya aku dan masih tidak berkahwin. (apa kaitannya dengan cerita ini?). Aku bertanya samada dia pergi menziarahi kubur nenek moyang atau tidak.Dia mengatakan tidak pergi. Alasannya - tak tahan panas. Katanya lagi, peristiwa ni berlaku setahun sekali, selepas 9 atau 10 minggu selepas perayaan tahun baru Cina. Tahun ini pula jatuh pada bulan April.

          Aku tanya, " Why you didn't go to your grandparent's grave?, "Now weather very hot maa. The event sometimes will end up until 2p.m. I cannot stand", balasnya. Aku cakap, "Aiyoo. Panas bring your own umbrella-lah then". Dalam hati, "Ya ampoon. Apa nak jadi dengan generasi muda sekarang?".

         Tambahnya lagi, orang Cina beragama Buddha memang memerlukan banyak duit untuk menampung kos kematian.Antara kos yang dia perincikan  (yang aku ingat) adalah seperti berikut :

1) Kos beli tanah kubur - 1 tapak lebih kurang RM10,000. Ikut ketinggian tanah. Makin tinggi dari paras laut, makin mahal kosnya.
2) Upah keranda dan van mayat - RM3,000
3) Upah orang untuk menangis semasa kematian berlaku - tak tahu
4) Upah buat jamuan makan (selalunya pada waktu malam) di rumah si mati - selalunya 3,5 atau berlanjutan untuk tempoh 7 hari. Bergantung pada keluarga si mati.
5) Kos untuk penempatan abu di rumah mayat, contohnya di bangunan Nirvana Memorial Center, Kuala Lumpur. -Kos paling minimum ialah RM10,000 sekali bayar. Kalau bangunan tu bertingkat, maka kosnya semakin meningkat berkadaran dengan aras tingkat.

           Pening juga kepala aku dibuatnya memikirkan hal mati ni dalam budaya orang Cina yang beragama Buddha. Nak mati pun paling kurang kena ada RM20,000 ke RM50,000 untuk majlis kematian dan urusan pengebumian. Rakan sekerja aku tu cakap siap ada pakej lagi keluarga si mati tu boleh pilih. Ada yang murah, sederhana dan yang 'grand'. Lagi 'grand', lagi banyak 'fulus' yang masuk lepas tu.

          Ok, aku yang Muslim ni pulak, janganlah pula lupa bayar duit 'Khairat' kematian di qariah masing-masing. Selalunya orang bayar kepada pihak pengurusan masjid. Surau di tempat mertua aku ni kutip RM30 seorang untuk tempoh setahun bagi duit Khairat kematian.

         Harapan aku, semoga segala bana jenis mak nenek hutang dapat aku jelaskan kepada semua pihak yang telah aku berhutang sebelum mati ni. InsyaAllah.
.