Thursday, May 3, 2012

Gaji minimum

           Diceritakan bahawa arakian rata-rata warga penduduk negeri Satu Alam ternanti-nanti akan pengumuman yang bakal dilakukan oleh pembesar negeri mereka itu, Bijan Hamsor; tentang bayaran upah minima yang bakal mereka perolehi setelah begitu lama tuntutan dibuat.Penantian itu akhirnya tejawap tatkala menjelangnya cuti hari memperingati perjuangan kaum buruh, yang telah berkurun lamanya diwartakan. Tanggal 30 April tahun cengkerik, pastinya diingati buat seluruh penduduk negeri Satu Alam.

          Satelah dihimpunkan seluruh rakyat dari segenap pelusuk negeri Satu Alam, dengan hampir kesemuanya berkumpul di dataran berhampiran dengan kediaman pembesar Bijan Hamsor itu, pembesar Bijan Hasmor mengumumkan bayaran upah minima kepada seluruh warga dengan begitu tenang sekali. Sekali lafaz.

         Pengumuman kadar upah minima yang bakal diperoleh warga negeri Satu Alam itu disambut dengan tepukan gemuruh, hilai keriangan serta sorak gembira yang begitu meriah sekali. Bunyi paluan gong, kompang, serunai, seruling, gambus, rebana dan bermacam-macam lagi alatan hiburan dimainkan untuk memeriahkan suasana. Siapa yang bawa tidak pula diketahui. Seolah-olah mereka sudah tahu akan berita gumbira itu dari awal lagi.

          Yang paling 'champion', ada juga kedengaran bahawa beberapa warga negeri Satu Alam telah 'menumbangkan' tiga ke empat ekor kijang peliharaan mereka untuk dibuat kenduri doa selamat bagi meraikan pengumuman itu. Untuk makluman, kijang merupakan ternakan rasmi negeri Satu Alam. Cukup mudah untuk diperolehi.

          Namun,tidak semua warga bergumbira dengan pengumuman itu. Kadar upah yang berlainan bakal diterima oleh penduduk negeri Satu Alam yang terletak dibahagian timur. Untuk makluman semua lagi, bahagian timur negeri Satu Alam dengan tanah besar negeri Satu Alam,dipisahkan dengan satu terusan besar, yang dahulunya dijadikan laluan kapal-kapal dagang serta lubuk mencari 'emas hitam'. Alasan pembesar Bijan, katanya akibat perbezaan struktur upah dan kos sara hidup yang ketara bagi bahagian timur negeri Satu Alam itu berbanding bahagian tanah besar. Pembesar Bijan Hamsor menjangka beliau pastinya akan mendapat kritikan dan tentangan dari pihak pembesar Rawna Miharbi, yang merupakan saingan beliau dalam merebut takhta kerajaan Satu Alam.

          Apa-apapun, boleh dikatakan ramai warga negeri Satu Alam yang bersyukur dengan pengumuman kadar upah minimum ini. Ada juga yang tidak kurang lantang mengkritik pembesar Bijan Hamsor dengan mengatakan upah minimum itu hanya dijadikan sebagai 'umpan' atau 'gula-gula' untuk pilihanraya memilih pembesar negari Satu Alam yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Segelintir warga negeri Satu Alam pula merancang untuk mengadakan demo, piket ,hartal dan bermacam lagi untuk menuntut kadar upah yang lebih akibat harga barang-barang keperluan asas yang melonjak-lonjak seperti lahar gunung berapi yang aktif. Mereka yang lebih terpelajar pula mahukan pembesar Bijan Hamsor menyahkan pendatang-pendatang haram dari negeri jiran seperti dari negeri Panji Punjut, negeri Sakti Makkal, negeri Anupal dan negeri Laddesh agar tidak turut sama menikmati upah minima demi kepentingan warga negeri Satu Alam itu sendiri.

          Kata mereka, "Negeri Satu Alam ini bukannya tidak kaya; barli, gandum,dan bijirin yang menjadi makanan ruji negara kita, tetapi mengapa masih mahal berbanding negeri Panji Punjut,dan juga negeri Sakti Makkal, yang juga menghasilkan hasil tani yang sama. Emas hitam juga begitu, nama sahaja pengeluar utama, tetapi dijual mahal di negeri sendiri". Ada juga yang merasakan hasil pendapatan negeri tidak diagihkan seadilnya. Itulah antara keluhan sebilangan rakyat negeri Satu Alam yang rata-ratanya diluahkan di laman-laman sembang beranda rumah sahaja, takpun semasa majlis keramaian mingguan antara desa.

          "Nampak gayanya, terpaksalah juga aku cari pendapatan lebih dengan menjual burger kijang di malam hari demi menampung ahli keluarga sekalian", getus Shamjul Aduka yang merasakan upah gaji minima itu masih kurang berbanding keperluan saraan keluarganya itu.     
   

No comments:

Post a Comment