Thursday, April 19, 2012

Cerekaramaonx : Zamany Salam (1)

 Makan seorang diri

                Tersebutlah dalam suatu kisah, di sebuah negeri entah berentah, tinggallah seorang pemuda bernama Zamany Salam. Tidaklah pula diketahui akan susur galur keturunan Zamany Salam ini kerana tiadalah pula siapa-siapa mencatatkan butir-butir peribadinya yang luhur itu.

            Saban waktu ketika Zamany Salam dihujani bebanan kerja yang tidak putus-putus, maka jawabnya tidaklah tidak akan dia dapat bersama teman-teman seangkatan untuk menikmati makan tengah hari bersama, samada di kantin tempat bekerja ataupun di luar.

             Hatta, Zamany Salam akan menikmati makan tengah harinya lewat sedikit dan besar kemungkinan hanya akan berseorangan untuk menjamah hidangannya itu. Justeru, Zamany Salam akan memilih tempat duduk yang memang betul-betul dikhaskan untuk seorang. Paling tidakpun, akan memilih tempat duduk yang hanya boleh dihuni seramai 2 orang. Tidak lebih dari itu. 

            Begitulah demikiannya adab Zamany Salam itu tentang pemilihan tempat duduk sekiranya terpaksa makan seorang diri. Tak mahu membazir ruang, katanya.

            Arakian, ditakdirkan pada suatu hari, Zamany Salam terpaksa makan seorang diri pada suatu hari bekerja itu akibat banyak kerja yang tertunggak. Makanlah seorang diri Zamany Salam seadanya. Dipilihlah dia tempat duduk yang benar-benar dikhaskan untuk seorang sahaja, yakni di kawasan ruang tepi kantin.

          " Hai, makan sorang ja ka?", tegur seorang kenalan rapat Zamani Salam, semasa dia sedang berada di pertengahan masa menikmati makanannya itu.

          Dengan tenang dan penuh tawaduk Zamany Salam menjawab, " Tengah makan dengan makwe ni. Tak mau kenal-kenal ke?".

          Suasana kembali tenang dan kedengaran burung-burung berkicau riang. Zamany Salam kemudiannya menyambung suapan nasi ke dalam mulutnya sambil menjentik satu dua butir nasi yang berada diatas meja ke arah meja yang berdekatan.

2 comments:

  1. ha, orang kita ramah tak kena cara...

    ReplyDelete