Wong Ah Jang atau nama Islamnya Wong Bujang Abdullah menarik nafas panjang serta mulut terkumat kamit mengucapkan Astaghfirullahaladzim sekembalinya beliau dari tempat kerja menuju ke tempat beliau meletakkan kereta. Dari jauh beliau dapat melihat tompok-tompok putih bercampur kuning berselerakan di atas kereta 'sport'nya itu.
Mungkin hangpa pernah mengalami situasi yang sama, ataupun mugkin pernah mendengar beberapa keluhan dari rakan kerja,saudara mara, handai serta taulan. Ini bukanlah suatu perkara yang asing dalam hidup ini.
******
Jika di dalam Al Quran telah diceritakan dalam surah yang ke 105, yakni Surah Al Fiil tentang peristiwa serangan burung Ababil terhadap angkatan tentera bergajah yang telah di ketuai Abrahah, gabenor Yaman ketika itu dek kerana perbuatannya serta bala tenteranya yang ingin menyerang Kaabah, kini situasi yang berbeza pula berlaku saban hari dan saban tahun di parkir kenderaan untuk warga pekerja kilang di tempat aku bekerja.
Sudah lama sebenarnya aku peratikan fenomena ini. Bekerja di kilang sebenarnya beruntung kerana parkirnya disediakan dan tiada bayaran parkir dikenakan. Buat yang menunggang motor ke tempat kerja di kilang aku bekerja, mereka berada dalam kategori selamat kerana parkirnya berbumbung. Buat yang berkereta, waspada. Tiada parkir berbumbung disediakan.
Aku sebenarnya sukakan parkir di bawah pohon yang rendang. Nyaman dan selesa. Kereta pun dapat berteduh. Namun, aku menasihatkan agar tempoh parkir di bawah pohon yang rendang hanyalah relevan untuk tempoh 1 hingga 3 jam sahaja. Tidak lebih dari itu. Berdasarkan pengalaman yang dikecapi, tempoh parkir yang lama di bawah pohon yang rendang memungkinkan kereta hangpa untuk terkena serangan najis burung.
Umum patut sedar dan ambil pot bahawa pohon yang rendang adalah tempat pot yang paling popular dikalangan warga burung, terutamanya burung pipit. Burung ini merupakan antara burung yang popular di Malaysia, selain burung gagak, burung merpati, burung Walit, burung punai dan pelbagai burung lain lagi yang tidaklah dapat aku senaraikan kesemuanya. Kepopularan burung ini samalah seperti popularnya Neelofa pada masa kini. Burung pipit gemar bersama kawanan mereka dan akan terbang dan hinggap di suatu tempat di dalam kawanan.
Burung pipit yang comel molek
Jangan memandang enteng akan keupayaan burung pipit ini. Benar tubuhnya molek dan mulus, namun najisnya 'power' dan banyak. Keupayaannya untuk berak dengan banyak berbanding dengan tubuhnya yang mulus itu sesuatu yang patut burung-burung dari spesis lain untuk geruni. Najisnya juga berada dalam kategori 'susah- untuk-dibersih-dan-disental'; sama tahap dengan najis merpati dan gagak.
Pengalaman kereta dihujani najis burung pipit membuatkan aku menulis tentang serangan dari udara ini di tempat parkir. Justeru, waspada jika terdapat ruangan parkir tanpa bumbung yang masih kosong di tempat kerja hangpa semua ataupun di mana sahaja hangpa,yakni parkir di bawah pohon yang rendang. Ada sebab mengapa ianya tidak diisi dengan kenderaan. Tapi jika untuk tumpang berteduh sekejap sahaja tak mengapalah.
Apa-apapun, untuk melatih dan mengajar kawanan burung-burung ini agar tidak melepaskan najis mereka sewenang-wenangnya di atas kenderaan adalah suatu yang agak mustahil kerana mereka bukanlah binatang dari kategori 'bijakpandai' seperti anjing, chimpanzee atau dolphin. Ini samlah mustahilnya untuk mengajar ayam agar mereka berak ataupun melepaskan najis di dalam tempat yang disediakan ataupun di lubang najis. Sama-samalah kita ambil pot dan mengatur strategi untuk mencari tempat parkir yang sesuai untuk mengelak dari dihujani najis burung.
.
No comments:
Post a Comment