Saturday, May 12, 2012

Cerekaramaonx : Zamany Salam (2)

            Hari Ahad.

           Jam dinding tepat menunjukkan pukul 12.11 minit tengah hari. Jam berjenama Quartz itu nampaknya masih lagi utuh dan berkhidmat dengan baik untuk Zamany Salam sepanjang 8 tahun bersamanya. Tetap setia bersama Zamany dari zaman universitinya lagi.

           Palan, rakan serumah sewa Zamany Salam yang baru masuk 3 minggu menjadi teman serumahnya, kelihatan masih lagi membungkang di atas tilam Toto yang dihamparnya di satu sudut ruang tamu rumah sewa mereka itu.  Membungkangnya Palan ini adalah kerana sibuk ber'futsal' hingga lewat awal pagi tadi. Namun, Palan masih menjaga solat Subuhnya.

          Teman serumah Zamany Salam sebelum ini, Mahbub, baru sahaja sebulan lebih meninggalkan rumah sewa tersebut arakian mendirikan rumah tangga bersama wanita janda satu 'ofis'nya. Dah jodoh. Dengar kata,      sekarang dah berbadan dua. Bunting pelamin. Rezeki dia lah tu.
       
          "Pukul 12.30 ni aku kena kejutkan Palan. Katanya ada benda mustahak nak diuruskannya", getus Zamany Salam.

           Kerana terlalu ralit menyidai kain basuhan yang telah tertunggak selama hampir 2 minggu lebih itu, Zamany terlupa melihat jam dindingnya itu. Agakannya dia baru sahaja menyidai kain selama 10 minit.

          "Ceh. Baru pukul 12.11 minit. Ada lagi 19 minit", Zamany melepas lelah setelah bergegas melihat jam.

          Zamany berpaling semula menuju ke ampaian di luar. Namun hatinya diselubung gundah-gulana.

         " Aik, dari tadi pukul 12.11? ".

          Zamany mula cemas. Diperiksanya dan dibeleknya jam Quartznya itu.

         " Bangang ! Bateri dah 'kong' rupanya."

          Bergegas Zamany Salam berlari-lari anak menuju masuk ke ruang tamu rumah sewanya itu demi mengejutkan Palan, rakan rumah sewa barunya itu. Dah benda mustahak, kena lah lari-lari sikit.

          " Bangun...bangun woi Palan. Dah pukul 12.37 ni. 'Sory' aku lambat sikit. Alpa menyidai baju jap tadi", kata-kata Zamany Salam mengejutkan Palan. Sambil-sambil tu, tangannya menepuk -nepuk pipi gebu Palan. Palan sedar dan jadi kalut.

          "Astaghfirullah..aku dah lewat ! Thanks,bro", kata Palan spontan. "Em, mana 'remote' TV ha? Aku nak tengok Melodi ni..dah lewat. Entah-entah dah 'miss' cerita pasal Neelofa", sambung Palan semula.

          " Bangang !", kata Zamany sambil menepuk dahi jendolnya itu. Ingatkan apalah yang mustahak sangatnya tu. Zamany tersengih kecil selepas itu.

         Dalam hati Zamany Salam teringatkan kata-kata rakan sekerjanya yang berbangsa Tiong Hua. Bunyinya lebih kurang begini, " Itu olang Melayu ha, sampai bila-bilapun takkan maju wo kalau asyik tengok itu cirita macam Melodi..haiiyyaa!".

         Zamany Salam menuju semula ke depan rumah untuk menyambung semula kerja-kerja menyidai baju di ampaian, sambil Palan khusyuk menatap rancangan Melodi di kaca TV.

******

         Seminggu selepas tu di hari yang sama ,Palan minta Zamany tolong kejut dia lagi. Kali ni awal sikit. Pukul 12. "Aik, takkan Melodi dah tukar masa rancangan?",pikir Zamany Salam sambil dahi berkerut-kerut sikit.

         "Cilakak...Kahkahkahkahkah.." gelak Zamany Salam seorang diri. Kali ni Palan nak bangun awal sikit sebab nak tengok 'PropaGanza'.
.

No comments:

Post a Comment