Tuesday, September 20, 2011

Apa khabar, dunia?

Tanggal itu
Hari itu
18 September 1985-bersamaan 3 Muharram 1406 Hijrah
Telah lahir aku untuk menghadapi dunia ini
Seperti yang telah ditentukan oleh Sang Maha Pencipta lagi Maha Kuasa
Alhamdulillah
semuanya selamat
semuanya lancar
semuanya mengikut plot
yang telah ditakdirkan

Ayahku -yang aku panggil Abah
Nun jauh di Kolumpo -mencari rezeki di sana
saat aku mahu keluar mahu melihat dunia
Arakian hampirnya dan saratnya emakku mengandung- dihantarnya ke kampung mentua di Selama
Buat jagaan sementara

Yang ada, selain bonda- di kampung Rantau Panjang, Selama itu
Hanyalah emak saudaraku yang masih dara -Mak Ndak dan Mak Lang
serta Opah dan arwah Tok Wan yang mengikut sifir umurnya -tua yang kiranya masih muda
Merekalah menjadi peneman
dan ada di tempat kejadian

Pada pagi itu
Misi -ataupun 'nurse' -Melayunya dipanggil jururawat
senang cerita -Bidan kampung kerajaan
Lintang pukang kucar kacir bersiap siaga
Saat bonda sudah mula pecah ketuban
Syukur, semuanya sempat dan semuanya lancar
Talipon dan henpon?
Tika itu celah mana nak ada
arwah Tok Wan yang pulun naik Honda 'cub'nya itu
membawa bidan
Bidan Siti namanya
oghe dari negeri Siti Wan Kembang

Bukan di hospital, bukan di klinik, bukan di jalanan dan bukan pula di atas kapal terbang
cuma dalam kamar tempat beradu Opah dan arwah Tok Wan
Bidan Siti menjalankan tanggungjawab dan urusan
Di atas kamar itu - masih ada dan digunapakai hingga kini
Bonda dibaringkan
Teran, teran dan teran
Akhirnya, muncullah saat kelahiran
Jadilah aku warga dunia yang baru

Jam 4.45 pada pagi yang hening itu
Aku mula keluar dari anggota badan bondaku
Mengorak langkah menerjah dunia baru
badan itu? Ya, tak perlulah untuk aku khabar dari bahagian apa
Sila belajar lebih lanjut dan ambil pot

arwah Tok Wan mengalunkan azan ke telinga kananku
disusuli iqamat ke telinga kiri pula
buat pembuka kalam pertama didengari aku
kerana syaitan sudah 'stenbai'
sudah berjanji dan melaung ikrar untuk memusuhi dan mengganggu gugat manusia

Abahku
Tak bersama pada saat itu
pastinya waktu itu
sedang tidur nyenyak menunggu hari siang untuk tiba bagi mencari rezeki
Mujur ada talipon di pejabat MARA
Dapat panggilan pada pagi itu- terus ke Puduraya
Dapatkan tiket bas yang terawal
untuk pulang ke kampung menemui cahaya mata tercinta

Seperti yang diceritakan bonda - aku lahir awal seminggu dua dari tarikh ramalan para tabib
Ketika itu, tiada lagi mesin-mesin canggih digunapakai
Mesin sonografi masih belum meluas lagi penggunaanya -buat imbasan rahim,pengukuran saiz bayi,
degupan jantung, dan apa bana lagi fungsinya
Apa-apapun - Ah lan wa sahlan , dunia!

******
26 tahun berlalu
masih terasa lagi seperti baru menjenguk dunia kelmarin
masih merindui saat-saat dan detik-detik itu
ketika masih lagi suci dan murni
ibarat kain putih -yang tiada cela

Kek hari lahir pertama selepas berumah tangga dari isteri


.
photo credit: http://sarahgreenphotography.com/blog/tag/baby/

No comments:

Post a Comment