Tuesday, June 19, 2012

Berjumpa doktor gigi

          Ahad tempohari aku telah bertemu dengan tuan tabib gigi. Asbab dan musababnya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membuat rawatan gigi yang telah lama aku lupakan. Telah lama aku tidak menunaikan amanah serta tanggungjawab untuk gigi yang sedia ada ini. Namun, tugasan untuk memberus gigi tidaklah pernah aku lupakan dalam rutin harian, sepertimana tugasan untuk mengisi perut dengan makanan. Padah untuk lupa memberus gigi ini amat besar kesannya. Jika tidak dibendung, kesannya mungkin hingga dapat memutuskan ikatan siratul rahim sesama insan. Hangpa tak percaya?

          Berbalik kepada cerita,kerja membaik pulih gigi ini telah 10 tahun aku tinggalkan. Orang putih cakap, benda yang kita buat sekali dalam tempoh 10 tahun ini dipanggil 'decennial'. Mungkin kerana sifat aku yang tidak begitu ambil pot tentang penjagaan gigi sebelum ini menyebabkan kurangnya pertemua dengan tuan tabib gigi. Apa-apapun, jutaan penghargaan kepada sisi terbaik, Sorfina yang begitu prihatin dan tidak pernah berputus asa menyarankan aku untuk mengatur pertemuan dengan tuan tabib gigi. Justeru, tarikh semalam telah dipilih untuk menyelesaikan urusan gigi ini.

Gigi yang perlu di 'scaling'. Aku tutup mata sahaja sepanjang tempoh kerja-kerja membaik pulih.

        Alhamdulillah, akhirnya kerja membaik pulih atau bahasa mudahnya, 'scaling' dijalankan dengan jayanya setelah tabib gigi bertungkus-lumus menjalankan tugas beliau selama lebih kurang 40 minit termasuk waktu rehat. Terasa gigi-gigi ini seolah-olah mengalami kelahiran semula setelah menjalani kerja baik pulih di Klinik Pergigian Sg.Petani .Satelah 10 tahun, akhirnya tiada lagi 'tartar' dan 'plague' yang selama ini bermaharajalela dan hidup menumpang. Gigi aku kini lebih ringan, bersih 2.0, putih, hensem dan segak menawan, walaupun sedikit mancung.

         Kos? Aku menggunakan kad perubatan oleh kompeni kilang, jadi ianya percuma. Berdasarkan kos semasa, rawatan 'scaling' hanya sekitar RM40 ke RM70,bergantung kepada keadaan gigi. Tapi semalam aku menjalani 3 sesi sekaligus dek kerana sudah 10 tahun tidak menjalani servis.

         "Tahun depan kita jumpa tuan tabib gigi lagi ok?", janji aku kepada gigi-gigi aku yang tersusun tak berapa rapi dalam mulut aku usai melangkah keluar dari bilik rawatan.   

No comments:

Post a Comment