Tuesday, May 28, 2013

Hamidah, Qasidah....jalan dahhhh !

Dalam rahim ibu, kau gemar bergerak
Dalam rahim ibu, kau gemar menendang,
Kau akhirnya keluar melihat dunia,
Kau mula menelusuri dan menjengah wujudiyah kehidupan,

Kau berbaring dan mula memikirkan apa dunia ini sebenarnya,
Saat dan tika kau sudah bosan untuk asyik berbaring,
Kau mula meniarap dan berpusing menelentang,
Sekian lama kau meniarap dan berasa lenguh untuk mendongak,
Kau cuba untuk mengesot menuju entah mana destinasi,

Apa yang kau bicarakan langsung aku tak paham,
Namun aku mengerti, hati kau mula memahami akan kehidupan,
Kau mula memberi tindak balas kepada cahya, bunyi dan seumpama,
Kau tidak mengerti apa-apa dan punya sifat ingin tahu,
Yang amat menakjubkan sekali,

Apabila kau mula belajar untuk duduk,
Kau mula memerhatikan sekeliling,
Kau tenung dan renung,
Duduk, dan kemudian merangkak menuju arah pilihan,
Dalam perjalanan, kau kutip apa sahaja lalu masuk ke dalam mulut,
Pantang nampak sungguh!
Saat kau pandai mencium pipi aku,
Ooh...begitu indah dan tenang sungguh perasaan ini,
Hilang segala perit dan jerih dunia yang membebani,
Kau hulurkan dan depakan kedua tangan,
Meminta untuk diangkat,didukung dan dimanja,
Kau sudah pandai bermain dengan memek muka,
Aku dan ibu kau ketawa tidak kering gusi,

Ada masanya kau membebel dan mengomel,
Entah apa yang disampaikan-langsung aku tidak paham,
Adakah kau ingin sampaikan sesuatu mesej?
Kemudian kau menepuk tangan,
Kau gembira dengan sesuatu,
Kau sudah dapat memegang dengan bagus sekali,

Demam sesuatu yang kau tidak dapat lari darinya,
Tumbuh gigi suatu perkara besar dalam kehidupan ini,
Maka Tuhan anugerahkan kau demam,
Untuk kau belajar dan memahami makna tentang kehidupan ini,
Juga, maafkan aku dan ibu,
Sekiranya kami kerap membuli dan mempermainkan kau,

Ada masanya emosional kau berada di paras tertinggi,
Jenuh juga untuk dipujuk dan dirayu,
Tangis kau kadang-kala menguji kesabaran,
Bila kau membuang air besar,
Itu juga menguji.
Menguji tahap ketabahan hidung aku,

Gerak kau semakin cergas dan lasak,
Tangga, kabinet, meja, kerusi, celah dapur semua kau redah,
Nasib baik pokok durian tidak dapat kau panjat,
Kalau tidak, apa jadi pun aku pun tidak tahu,
Kau perhatikan aku memandu kereta,
Lantas aku biarkan kau memandu,
Maaf, bukan memandu,
Tapi hanya memegang stering kereta,


Kau sukakan kucing,
Kau berteriak apabila bertemu dengan kucing,
Aku harap kau menjadi saorang yang penyayang,
Dan menyayangi makhluk Tuhan,
Namun aku risau akan sifat alah kau,
Kau hanya dapat perhatikan dari jarak yang tidak berapa dekat,
Kau belajar yang tiap manusia punyai batasan,
Tuhan menetapkan batasan pada hamba-hambaNya,

Kau mula berdiri sendiri,
Kau berdiri dan memerhatikan sekeliling,
Kau ingin ke depan,
Kau berfikir untuk ke depan bukan dengan tangan,
Lalu kau cuba untuk melangkah,
Kau takut,
Kau melangkah dengan berhati-hati,
Kau jatuh, namun bangun semula,
Ada masanya, kau sambung dengan merangkak laju,

Banyak benda yang telah kau belajar,
Saat kau keluar dari rahim ibu kau hingga sekarang,
Hidup ini sebenarnya hanyalah sebuah perjalanan, sayangku,
Kehidupan yang kekal abadi matlamat sebenar,
Semoga kita semua dirahmati Tuhan.



Selamat berjalan dan berkelana dalam kehidupan, Nur Adelia.


Thursday, May 23, 2013

Jemputan

            Kepada hangpa semua, dijemput hadir ke majlis kechil-kechilan dan yang tak seberapa ini, yang dibuat bersempena masuk rumah baru ni di Kulim. Bukan ajak-ajak ayam ni, tapi jemput betul-betul. Jemput mai jom.Disebabkan jemputan, maka aku akan tulis dengan ayat skema buku teks Bahasa Melayu.

******

Bismillahirrahman nirrahim

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh dan salam sejahtera,

            Dengan rasa penuh kesyukuran dan besar hati, kami, Mohd Fahmi Ismail & Nur Dini Sorfina Azaman, ingin menjemput kalian semua ke majlis kesyukuran+ bacaan Yasin; sempena meraikan rumah baru kami di Kulim dan juga sambutan ulangtahun kelahiran anak kami yang pertama.

Maklumat adalah seperti berikut:

Tarikh :  1st June 2013 (Sabtu) /22 Rejab 1434 Hijrah
Masa   : 11.00 pagi - 3.30 petang
Lokasi :  326, PERSIARAN KULIM UTAMA 1/3,
               KULIM UTAMA,
               09000, KULIM,
               KEDAH.

          Semoga dengan kehadiran tuan dan puan serta sekeluarga sekalian dapat memeriahkan lagi majlis. InsyaAllah.

Peta harta qarun

Monday, May 20, 2013

Apa lagi rakyat mahu?

         Baik. Ini merupakan berita lama. Lama tak lama, tapi aku nak cerita jugak la sebab ramai orang masih duk bersembang pasal benda ni. Aku bekerja di kilang dan kebanyakan member-member kilang terdiri dari pelbagai bangsa terutamanya bangsa Tionghua/Cina. Depa ada bercakap dengan aku pasal ni dan ada lah luahkan sedikit rasa kecewa. Jenuh jugak lah aku duk terangkan pasal benda ni.

         Sekitar berita utama akhbar-akhbar di Malaysia lebih kurang 2 minggu lepas selepas keputusan PRU 13 diumumkan. Bagi akhbar berbahasa Tamil, aku dapati banyak akhbar 'online' mereka yang gagal untuk dikemas kini dan diterjmah dengan menggunakan aplikasi 'Translate' oleh Chrome.

         Aku tak sempat untuk mengambil sumber berita beberapa akhbar lain terutamanya yang hanya beroperasi secara online;seperti The Malaysian Insider, MalaysiaKini atau KLpost.

         Semoga perpaduan antara kaum akan terus terpelihara dalam negara Malaysia ini. InsyaAllah.








Wednesday, May 15, 2013

Ahlan wa sahlan, Daud Moyes !

         Dari kecil sampai ke besar, asal aku perati dan pikir pasal Manchester United, aku teringat Alex Ferguson. Dan begitulah jugalah sebaliknya. Mana taknya, aku mula minat dan sokong Manchester United sejak tahun 1994, masa darjah 3 dan Alex Ferguson masa tu umuq dia 52. Memang susah kalau nak pisahkan nama Alex Ferguson dengan Manchester United, kelab bola sepak paling 'power' seantero dunia.

         Apa-apapun, orang datang dan pergi. Yang hidup akan mati dan yang muda akan tua jua nanti. Itulah hukum alam yang kita kena terima. Tiada yang kekal di dunia yang fana ini melainkan Tuhan yakni Allah S.W.T. Manchester, manchester jugak, tapi Islam dan iman kena mau jaga woi.

          Selamat datang wahai David Moyes. Ingat-ingatlah akan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, contohnya Sir Matt Busby dan Sir Alex Ferguson. Kami akan meyokong dan mendokong anda selagi mana tindakan dan didikan yang diamanahkan kepada kamu berada di landasan yang benar. Ciao.

David Moyes (lahir :25 April 1963), pengganti Alex Ferguson di Manchester United

Harap-harap dapat la 'title' 'Sir' nanti ye dok macam Sir Alex Ferguson. Ke guane?

Monday, May 6, 2013

Pasca PRU 13 2013


          Tulisan dibawah ini berkenaan pasca PRU 13 telah aku ambil dari laman sesawang Tumblr penulis 'Awek Chuck Taylor', Nami yang juga pernah popular dengan blog 'Teh Tarik Gelas Besar'. Aku dah tak ikut dia punya blog sebab dia pun dah tutup blog tu dan guna Tumblr pulak. Tapi aku memang tak 'into' sangat dengan Tumblr ni, justeru, tak ikut tulisan dia dah sangat.

           Layan.

******

1. Semasa saya mengundi, kawan-kawan Melayu saya marah dan perli-perli saya mengundi DAP.

2. Ramai pengundi Cina turun. Orang Cina sudah tidak lagi pasif dalam politik Malaysia. Mereka bersuara mahukan perubahan.

3. Kita dikatakan sudah mengalami politik polarisasi, masyarakat Cina sokong pembangkang, Melayu sokong Barisan Nasional. Ini tidak tepat.

4. Buktinya, Kelantan masih kekal PR dan Terengganu cuma beza dua kerusi dari BN. Ini buktinya.

5. Di Bandar Tun Razak, Abdul Khalid Ibrahim menewaskan Tan Kok Eng dengan majoriti 10,000 undi. Khalid Ibrahim ni Cina ke? Tan Kok Eng ni Melayu ke?

6. Di Pandan, Rafizi Ramli membelasah Gary Lim dengan majoriti 26,700 undi. Rafizi ni Cina ke? Gary Lim ni Melayu ke?

7. Dan, kalau Melayu sokong BN dan Cina sokong pembangkang, kenapa hardliners Melayu macam Zul Noordin dan Ibrahim Ali kena tibai dengan majoriti besar, di kawasan Melayu sendiri?

8. Ramai suka mengambil pendekatan simplistik, termasuk professor kangkung di televisyen. Saya tak faham bagaimana mereka boleh dapat pangkat professor emiritus bikus dikus ni.

9. Orang Melayu ramai yang menentang Umno dalam PRU kali ni. Buktinya di Kelantan, Terengganu dan di Temerloh.

10. Sebenarnya ini adalah persaingan kawasan bandar dan luar bandar, disamping sabotaj-mensabotaj di antara sesama rakan sendiri.

11. Di dalam Pakatan ada kumpulan yang dipanggil sebagai kumpulan “yu-ji”, dalam Barisan ada yang mahu Najib ditendang keluar. Sebab tu keputusan dia macam ni.

12. Dan ada yang masih percaya dengan hujah dangkal “Melayu perlu bersatu”. Kali terakhir saya dengar bangsa perlu bersatu ni bila saya menonton Triumph of the Will - arahan Leni Riefenstahl. Sebelum mereka serang Austria, Poland dan Czechoslovakia mereka kata “bangsa Aryan perlu bersatu”.

13. Mana ada bangsa bersatu. Cina pun MCA dan DAP. Yahudi pun terpisah banyak - Likud, Kadima, parti Buruh. Banyak.

14. Teori bangsa bersatu ni adalah echoing fasisme, bendalah yang sama seperti Hitler dan Mussolini bebelkan.

15. Mulai hari ini kalau saya dengar perkataan “Melayu perlu bersatu” dengan nada serius, saya akan panggil anda Nazi.

16. Dan, bagi mereka yang menyokong Barisan Nasional, sebenarnya parti ini kalah. Pakatan Rakyat menambah majoriti di semua kawasan, BN banyak yang menang tipis, dan sebenarnya BN kalah undi popular.

17. Pakatan Rakyat 5.6 juta undi. Barisan Nasional 5.3 juta undi. Ini klasik - seperti Bush tewaskan Gore di Pilihan Raya Amerika 2000.

18. Hakikatnya kemenangan BN ini adalah kerana gerrymandering, blackout, peti undi tambahan tiba-tiba masuk, dan beberapa orang Bangladesh yang segelintirnya kantol (yang tak kantol mesti lagi ramai) dan kiraan semula yang menjenuhkan.

19. Hakikatnya pilihan raya kali ini adalah positif bagi saya, kalau ada yang nak marah mengenai penipuan, itu cerita lain. Ceritanya, ramai rakyat dah sedar. Lebih dari separuh pengundi memilih Pakatan Rakyat.

20. Kerajaan PAS Kedah tewas, ini memang apa yang saya nak (walaupun saya nak Mat Sabu menang).

21. Sebab Azizan Razak seorang Menteri Besar yang arrogant, dan tamak kuasa. Ini hakikat, tak ada dakwa-dakwi lagi.

22. Hakikatnya, beberapa orang yang progresif seperti Saifuddin Abdullah dan Dr Dzulkefly Ahmad tewas, ini mengecewakan saya.

23. Perubahan juga dapat dikesan di Sabah, Sarawak, Terengganu, Pahang, dan paling ketara, Johor.

24. Sebenarnya ini adalah kemenangan moral bagi Pakatan Rakyat, cuma mereka rasa palat sebab mereka ditipu.

25. Akhir kata, sebenarnya ini bukannya perlawanan Melayu lawan bukan Melayu, ini adalah mereka yang beraliran liberal menentang konservatif. Ini yang sebenarnya berlaku.

sumber http://tehtarikgelasbesar.tumblr.com/

PRU 13 di tempat aku mengundi

         Untuk makluman, walaupun aku telah hidup dan mencari rezeki di Kulim semenjak Jun 2008 lagi (dan juga bertemu jodoh di Kulim), namun aku masih belum sempat dan belum berpeluang untuk menukar kawasan pengundian di sini. Makanya, aku akan mengundi buat kali kedua di Selangor, di rumah orang tua aku. Tempat mengundi pun dekat dengan rumah aku, dalam 500 meter saja, jadi tak payah la nak bertungkus lumus naik kereta,motor apa bana semua untuk mengundi. Cukup dengan berjalan kaki ke destinasi pengundian.

          Calon-calon pun boleh tahan hebat, jadi tak salah nak kekal mengundi di Selangor ni, ye dok?

          Alhamdulillah. Tanggung jawab telah dilaksanakan. Bawah ni aku ada la buat gambar kemenangan calon kawasan aku dalam PRU 13 2013 kali ini.


         Tahniah buat Rafizi Ramli dan Iskandar di atas kemenangan dalam PRU 13 lepas. Bertaqwalah kepada Allah S.W.T dan tunaikanlah amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada saudara sekalian. Berlaku adillah kepada semua rakyat dari pelbagai kaum dan etnik; tidak kira Melayu, Cina, India dan bangsa lain dalam menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan ini. Sesungguhnya, Allah S.W.T yang telah memberikan kemenangan ini,dan dariNya jugalah, Dia akan mengambil semula kuasa jika berlaku kepincangan dalam menguruskan amanah tersebut.

         Telusurilah sirah Nabi Muhammad S.A.W dalam kepimpinannya. Renungkanlah bahana yang terjadi kepada Fir'aun dan Hamann akibat kufur dan berlaku zalim kepada Nabi Musa dan Bani Israel. Semoga kita semua diberkati oleh Allah S.W.T.