Tuesday, May 28, 2013

Hamidah, Qasidah....jalan dahhhh !

Dalam rahim ibu, kau gemar bergerak
Dalam rahim ibu, kau gemar menendang,
Kau akhirnya keluar melihat dunia,
Kau mula menelusuri dan menjengah wujudiyah kehidupan,

Kau berbaring dan mula memikirkan apa dunia ini sebenarnya,
Saat dan tika kau sudah bosan untuk asyik berbaring,
Kau mula meniarap dan berpusing menelentang,
Sekian lama kau meniarap dan berasa lenguh untuk mendongak,
Kau cuba untuk mengesot menuju entah mana destinasi,

Apa yang kau bicarakan langsung aku tak paham,
Namun aku mengerti, hati kau mula memahami akan kehidupan,
Kau mula memberi tindak balas kepada cahya, bunyi dan seumpama,
Kau tidak mengerti apa-apa dan punya sifat ingin tahu,
Yang amat menakjubkan sekali,

Apabila kau mula belajar untuk duduk,
Kau mula memerhatikan sekeliling,
Kau tenung dan renung,
Duduk, dan kemudian merangkak menuju arah pilihan,
Dalam perjalanan, kau kutip apa sahaja lalu masuk ke dalam mulut,
Pantang nampak sungguh!
Saat kau pandai mencium pipi aku,
Ooh...begitu indah dan tenang sungguh perasaan ini,
Hilang segala perit dan jerih dunia yang membebani,
Kau hulurkan dan depakan kedua tangan,
Meminta untuk diangkat,didukung dan dimanja,
Kau sudah pandai bermain dengan memek muka,
Aku dan ibu kau ketawa tidak kering gusi,

Ada masanya kau membebel dan mengomel,
Entah apa yang disampaikan-langsung aku tidak paham,
Adakah kau ingin sampaikan sesuatu mesej?
Kemudian kau menepuk tangan,
Kau gembira dengan sesuatu,
Kau sudah dapat memegang dengan bagus sekali,

Demam sesuatu yang kau tidak dapat lari darinya,
Tumbuh gigi suatu perkara besar dalam kehidupan ini,
Maka Tuhan anugerahkan kau demam,
Untuk kau belajar dan memahami makna tentang kehidupan ini,
Juga, maafkan aku dan ibu,
Sekiranya kami kerap membuli dan mempermainkan kau,

Ada masanya emosional kau berada di paras tertinggi,
Jenuh juga untuk dipujuk dan dirayu,
Tangis kau kadang-kala menguji kesabaran,
Bila kau membuang air besar,
Itu juga menguji.
Menguji tahap ketabahan hidung aku,

Gerak kau semakin cergas dan lasak,
Tangga, kabinet, meja, kerusi, celah dapur semua kau redah,
Nasib baik pokok durian tidak dapat kau panjat,
Kalau tidak, apa jadi pun aku pun tidak tahu,
Kau perhatikan aku memandu kereta,
Lantas aku biarkan kau memandu,
Maaf, bukan memandu,
Tapi hanya memegang stering kereta,


Kau sukakan kucing,
Kau berteriak apabila bertemu dengan kucing,
Aku harap kau menjadi saorang yang penyayang,
Dan menyayangi makhluk Tuhan,
Namun aku risau akan sifat alah kau,
Kau hanya dapat perhatikan dari jarak yang tidak berapa dekat,
Kau belajar yang tiap manusia punyai batasan,
Tuhan menetapkan batasan pada hamba-hambaNya,

Kau mula berdiri sendiri,
Kau berdiri dan memerhatikan sekeliling,
Kau ingin ke depan,
Kau berfikir untuk ke depan bukan dengan tangan,
Lalu kau cuba untuk melangkah,
Kau takut,
Kau melangkah dengan berhati-hati,
Kau jatuh, namun bangun semula,
Ada masanya, kau sambung dengan merangkak laju,

Banyak benda yang telah kau belajar,
Saat kau keluar dari rahim ibu kau hingga sekarang,
Hidup ini sebenarnya hanyalah sebuah perjalanan, sayangku,
Kehidupan yang kekal abadi matlamat sebenar,
Semoga kita semua dirahmati Tuhan.



Selamat berjalan dan berkelana dalam kehidupan, Nur Adelia.


No comments:

Post a Comment