Aidilfitri 1434 Hijrah kali ni aku tiga beranak beraya di Sungai Petani,di rumah mertua aku dahulu. Tiada undian digunapakai untuk penentuan berhari-raya di mana dahulu, tapi dengan menggunakan sistem giliran. Chewahh. Dah macam sistem nak pilih Yang diPertuan Agong pulak.
Hari pertama Syawal tempoh hari, aku dan beberapa ahli keluarga ipar sibuk menimbang berat badan usai solat sunat Aidil Fitri. Berat badan pagi tersebut akan menjadi penanda aras untuk hari-hari berikutnya.
Alhamdulillah, berat aku turun 10 kati dan tampak tegap seperti Gareth Bale pada perlawanan pra musim.
Selepas bersama-sama keluarga mertua menyambut raya, Sorfina, Nur Adelia dan aku menyambut raya di Selama pula pada 2 Syawal. Mak dan abah aku balik Selama. Tapi kesian juga ke adik bongsu aku Fikri, tak dapat turut balik beraya bersama dek kerana ketiadaan cuti bekerja. Bukan kerja pun, tapi buat praktikal di sebuah hotel di Negeri Sembilan. Apa punya tuurrr. Aku harap Fikri tak nangis dalam bilik sorang-sorang pada 1 Syawal tempohari.
******
Alhamdulillah. Mak dan abah serta 3 adik aku selamat sampai di Republik Pandan pada pukul 10.30 malam semalam walaupun keadaan trafik agak mencabar. Namun ada berita yang kurang menyenangkan sesampainya di rumah.
Pintu dapur terbuka dan habis bilik mak abah dan adik aku di tingkat atas kena selongkar dan berkecamuk teruk. Dapat aja berita melalui Whatsapp keluarga (guna telefon Sorfina), aku telefon mak dan abah untuk tanya apa yang patut. Tak mau cakap lebih-lebih. Bagi depa lek lek lu, sak sak kok lu.
Terkini dari mak aku pagi tadi, polis datang dalam pukul 3 pagi ke rumah selepas laporan dibuat jam 11 malam semalam dan malam buat laporan tu pulak abah aku cakap ada lagi 5 kes samun dan pecah rumah berlaku. Habuan raya. Mak aku siap sempat bergurau sinis dengan abah aku sempena ulangtahun hari lahir abah yang ke 55, semalam- kejutan hari lahir buat abah.
Setakat ni, tak ada apa-apa kehilangan barang dan duit,walaupun port simpanan duit tu dah berjaya diselongkar;cuma barang-barang sperti baju, buku-buku dan beberapa dokumen diselerakkan.Pelik. Depa ni nak cari apa sebenarnya. Mak dan abah aku meniaga goreng pisang dengan ABC saja woi.
Tugasan sekarang menanti mak dan abah aku adalah mengemas balik barang-barang yang teruk kena selongkar dan diselerakkan. Ada lagi. Kena perbaik balik 'grill' dapur rumah serta pintu belakang termasuk tingkap 'sliding' dapur yang rosak.
Semoga segala urusan mak dan abah dipermudahkan oleh Allah S.W.T. Ingatlah, Allah sedang menguji hamba-hambaNya.
No comments:
Post a Comment