Bekerja di kilang ni memang best, wa cakap lu. Macam-macam orang dan ragam hangpa boleh jumpa. Member-member kilang juga ramai, ada Melayu, Cina, India, Nepal, Vietnam, Jawa, Banjar, Pakistan, Costa Rica, Filipina, Amerika, Republik Rakyat China dan pelbagai lagi.
Hari ni bos aku ambil cuti. Cuti yang telah dirancangkan seawalnya. Beberapa orang member kerja kilang aku yang berbangsa Tionghua dan beragama Buddha juga ramai yang akan ambil cuti untuk meraikan sesuatu.
" Aa, LianHwa ah, why our boss take leave ah tomorrow? Do you know?"
" Sorry i don't know. Maybe she want to celebrate with her family.."
"What celebration?" balas aku.
" Have you heard the Zhong Yuan festival? Itu hantu lapar punya event?"
"Owh...haa...tau-tau. I thought itu hantu lapar Chap Goh Meh punya. Main mercun banyak-banyak punya kasi halau itu ghost..."
"oh, no laa...Itu Chap Goh Meh festival the one you throw away mandarin orange to the sea. Mau dapat jodoh punya."
Ya, perayaan 'Hantu Lapar'. Aku pernah tahu, tapi tak secara mendalam. Artikel di bawah ni aku ambil dari laman fesbuk "Malaysia Reverted Muslim (Formerly Malaysia Chinese Muslim)". Semoga bermanfaat.
******
Perayaan Zhong Yuan merupakan perayaan yang disambut oleh kalangan penganut agama Buddha & Tao pada seluruh bulan 7 dalam kalendar lunar Tionghua, dengan hari ke-15 (hari ini) sebagai kemuncak perayaan ini. Mulai hari pertama, adalah dipercayai bahawa pintu neraka akan terbuka luas supaya roh dan hantu boleh keluar ke dunia ini untuk menjamu makanan manusia.
Pelita-pelita, lilin, dan batang-batang colok yang dinyalakan bertujuan sebagai tanda upacara sedang dijalankan dan untuk mengajak roh & hantu. "Wang kertas Neraka" dibakar sebagai keperluan belanja mereka. Dalam masa yang sama, makanan berupa nasi, biskut, dan minuman disediakan untuk makhluk ghaib yang telah lama kelaparan dalam neraka. Hantu-hantu ini terdiri daripada roh ahli keluarga yang telah meninggal dunia, roh hantu yang tiada tempat bergantung semasa hidup, dan hantu yang mati terseksa sebelum mati. Dengan melakukan permujaan ini, para penganut berharap roh-roh ini mendapat ketenangan dan tidak menganggu mereka yang masih hidup.
Walaupun perayaan ini kelihatan menakutkan, asal-usulnya sebenarnya adalah sebaliknya kerana ia lebih menjurus kepada kebaktian kepada orang tua. Dalam kitab Ullambana Sutra, diceritakan bahawa Gautama Buddha mengajar pengikut setianya Moggallana tentang cara membebaskan roh mendiang ibunya yang telah dilahirkan semula di alam Neraka terendah. Difahamkan bahawa alam di situ sungguh seksa sehinggakan makanan nasi turut bertukar menjadi arang membara. Kesedihan inilah yang menyebabkan Moggallana bertekad untuk mencari jalan penyelesaian. Atas nasihat gurunya Gautama Buddha, beliau pun menderma makanan kepada kira-kira 500 sami-sami supaya ibunya dapat dilahirkan semula (reincarnation) dalam keadaan baik.
Petikan ini juga mengingatkan kita kepada pentingnya kebaktian kepada kedua ibu bapa yang Rasulullah s.a.w tekankan. Antaranya:
1) Anak soleh solehah mendoakan keampunan Allah kepada arwah ibu bapa.
2) Tingginya kedudukan ibu dalam Islam, sepertimana yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w sebanyak 3 kali "ibu, ibu, ibu" dan "syurga terletak di bawah tapak kakinya."
Diharapkan apa yang disampaikan di sini sebagai pengetahuan umum dapat membantu kita dalam memahami jiran majmuk kita. Sememangnya perayaan ini tiada kaitan dengan Islam, tetapi permahaman terhadap asal-usulnya dapat membantu kita dalam toleransi dan untuk berdakwah membantu Belum-Muslim memahami Islam, sepertimana dalam firman Allah SWT:
"...marilah kita bersama atas kalimat yang serupa, di antara kami dan di antara kamu.."
[Al-Qur'an 3:64]
Akhir sekali, ia juga mengingatkan kita kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."
[Al-Quran 17:23]
No comments:
Post a Comment