Friday, March 30, 2012

Pertama kali

          Banyak benda yang julung-julung kalinya aku buat dalam minggu ini.Di harap generasi seterusnya dapat mengambil pedoman dan pengajaran terhadap apa yang berlaku demi meneruskan survivalisme dan kesinambungan yang telah sedia ada.

1) Teman 'orang rumah', Sorfina dalam 'Labor room'  - Terus jadi insaf dek melihat perjuangan Sorfina.

2) Azan dan iqamah dekat anak sulung - Jururawat India yang suruh aku mulakan azan dan iqamah lepas anak aku keluar melihat dunia.

3) Basuh uri anak aku (benda macam limpa) dan tanam belakang rumah mak mertua aku. - Dapat uri dari pihak klinik bersalin dan depa suruh bawak balik. Macam-macam adat resam aku dengar cara nak meng'handle' uri ni. Ada yang suruh tanam sekali dengan paku,tapi aku tak buat macam tu.

4) Dapat tidur sekatil dengan anak sulung. - Tidur dengan berhati-hati dan penuh santun agar aku tak terterajang atau terhimpap dia.

5) Basuh berak anak sendiri. - Boleh tahan jugak anak aku punya berak. Ada lah lima ke enam kali sehari, setakat ni.

6) Bancuh susu anak tengah-tengah malam buta. -Anak menangis, Sorfina punya susu badan pulak masih lagi segan-segan nak keluar. Bancuh susu formula dahulu. Aku yang tidur mati ni semacam ada semangat yang lain macam pulak boleh bangun pagi-pagi buta beberapa kali sebab anak menangis.

          Diharapkan agar aku terus tabah dan diberi kekuatan olehNya pada hari-hari mendatang.Ciao.
 .

Tuesday, March 27, 2012

Bermulanya sebuah kehidupan

Apabila si dia, 
bertemu jodoh,

 Lalu mendirikan kehidupan berumah tangga dengan si dia,

Dengan rahmat dan kekuasaan dariNya....maka,

Lahirlah si cinonet ini, pada tanggal 25 March 2012 bersamaan 2 Jamadil Awwal 1433 Hijrah, pada jam 1528...


Alhamdulillahirabbil 'alamin.....

******

Anakku, aku tidak dapat sampaikan apa-apa nasihat padamu yang lebih baik selain daripada ayat-ayat Al Quran di bawah. Pedoman buat kita ini yang telah disampaikan oleh junjungan besar kita,Nabi Muhammad S.A.W ini pastinya sesuatu yang terbaik dapat ayah pesankan kepadamu.

Semoga engkau senantiasa dirahmati Allah, menjadi anak yang solehah serta berjaya di kehidupan di dunia dan di akhirat...Ingatlah dan sentiasalah berdoa kepada kami walaupun kami sudah tiada lagi di dunia ini.... 


Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;
[An-Nisaa' 4:36]

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
[Al-Israa' 17:23]

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
[Luqman 31:14]
.

Friday, March 23, 2012

Tabiat

Tabiat Mashed Pomegranate Seed yang boleh dibeli di Turki

          Sedang dalam pemanduan menuju ke rumah mertua aku, aku merenung jalan raya yang keadannya tak ubah macam permukaan satelit semulajadi bumi, bulan; sambil kedua belah tangan menggenggam erat 'steering' kereta Alza kepunyaan Sorfina. Bukan apa, takut -takut terlarinya pemanduan dek kerana lubang-lubang dan bonggol-bonggol di tengah jalan yang umpama jerawat batu yang dialami oleh pelajar lepasan SPM.

          Kereta aku pula sedang menjalani rawatan 'air cond' di salah sebuah 'woksyop' terkemuka di Sungai Petani. Terkemuka lah sangat. Woksyop biasa saja untuk golongan marhaen macam aku ni. Kereta tua,maklum-maklum ajalah. Usianya hanya 5 tahun muda dari usia aku. Aku yakin dengan rawatan dan perbelanjaan yang dikeluarkan kali ini, suhu dalaman kereta aku tidak lagi membahang seperti suhu di Gurun Kalahari. InsyaAllah.

          Sorfina telah mula kerja dari rumah, ataupun WFH bermula pada minggu ini dan akan cuti sepenuhnya minggu depan sempena menghadapi detik-detik mendebarkan bagi saorang ibu menantikan cahaya mata sulung. Aku 'rileks' sahaja. Kena zahirkan perasaan 'kool' itu kerana semuanya aku serahkan kepadaNya. Aku cuma berdoa dan buat apa yang patut sebagai persediaan.

        Ketiadaan Sorfina menemani aku di dalam kereta dalam perjalanan pergi dan pulang ke kilang kami bekerja sejak beberapa hari ini membuatkan aku memikirkan kembali tabiat-tabiat aku yang aku pikir ianya amat buruk dan hodoh sekali. Aku harap agar anak aku yang bakal lahir ini tidak mencontohi jejak langkah aku ini.

         Antara kerisauan yang paling kuat ialah tabiat aku menggali lubang hidung. Bukannya apa, hidung aku selalu gatal kerana resdung. Aku selalu 'resah di hidung'. Justeru, menggali lubang hidung, ataupun mengorek hidung, dapat menenangkan kegusaran hatta 'kerunsingan' yang terdapat pada hidung. Pun begitu,aku tidak mengabaikan tanggungjawab untuk membasuh tangan selepas kerja-kerja penggalian.

         Tabiat buruk lain aku ialah kurangnya kesabaran ketika pemanduan. Ada saja carutan dan kata-kata kesat (contohnya perkataan 'bangang' ataupun 'babi') yang terhambur sekiranya kereta, lori ataupun motorsikal di jalan raya yang tidak memenuhi kehendak pemanduan berhemah. Senang kata, mengikut kehendak pemanduan aku.

           Untuk itu,aku berazam untuk melakukan aktiviti galian ini di dalam tandas agar tidak ditiru oleh anak-anak aku suatu hari nanti. Tentang carutan dan kata-kata kesat semasa pemanduan pula, aku akan cepat-cepat beristighfar, bersabar atapun berbaik sangka. Mungkin orang tersebut hendak memandu laju ataupun memintas kita kerana sakit perut yang melampau ataupun bininya mahu beranak dan perlu bergegas sepantas mungkin ke hospital.

            Namun, setiap keburukan, pasti ada hikmahnya dan keseimbangan. Bukan aku hendak menunjuk-nunjuk, tapi lebih untuk berkongsi perbuatan baik supaya dapat dimanfaatkan bersama. Aku mempunyai tabiat untuk tidak suka membuang sampah merata-rata, walaupun berada di tempat awam dan tidak sukakan pembaziran makanan.

            Aku sanggup menyimpan sampah didalam poket sendiri dari dibuang ke tepi jalan atau di tempat yang tiada tong sampah. Tapi kalau benda yang boleh terbiodegrasi, contohnya kulit pisang, aku akan buang di atas rumput tepi jalan atau di dalam pasu bunga taman sebagai 'baja' tambahan.

           Walaupun perbuatan itupun tidak manis dipandang, aku teruskan sahaja berdasarkan prinsip itu. Namun, benda-benda seperti kotak minuman, plastik coklat, atau plastik minuman, aku akan pastikan untuk simpan didalam poket atau kenderaan sebelum buang di dalam tong sampah.

            Berbalik kepada pembaziran makanan, jika Sorfina tidak larat menghabiskan makanan, aku akan habiskan. "Tak baik membazir makanan", itulah yang selalu aku pesankan kepada Sorfina, saudara mara serta taulan jika selesai sesi makan bersama. Syaitan sukakan pembaziran dan mengikut jejak langkah syaitan adalah suatu yang patut kita hindarkan.

          Berbalik kepada tabiat tidak sukakan pembaziran makanan, berat badan aku juga bertambah akibat penangan makanan Sorfina yang kadang-kadangnya tidak habis. Tak apalah, pandai-pandailah aku 'eksesais' nanti!
.

Monday, March 19, 2012

Pilihanraya Umum ke 13

Mengesahkan status daftar pemilih yang telah lama ditinggalkan

              Nama betul, ejaan betul, tarikh lahir betul, tempat mengundi-masih sama. Lega. Empat tahun dulu ketika pertama kali aku mengundi pada pilihanraya ke 12 pada Mac tahun 2008, aku disahkan untuk mengundi di sekian-sekian tempat melalui borang jawapan pandaftaran yang boleh disemak melalui  laman sesawang SPR.

          4 tahun kemudian aku dapati maklumat tentang diri masih lagi sahih dan tepat. Mujur. Jangan tukar nama aku kepada nama entah apa-apa sudahlah. Aku masih lagi rakyat Malaysia dan masih lagi mempunyai nafsu untuk mengundi. Bau-bau pilihanraya yang agaknya semakin hampir dan sudah dapat dihidu yang membawa aku untuk menyemak daftar pemilih aku pada mingu lepas.  

          Kalau aku saorang warga Nepal, Bangladesh, Myanmar,Filipina, Indonesia, Monggolia, Pakistan atau Timor Leste yang menetap di Malaysia,benda-benda macam ni mungkin dah lama aku tak ambil pot. Mungkin tanpa perlu mendaftar, alih-alih sudah tercalon sebagai 'pengundi hantu'.Peduli apa? Janji dapat cari makan dan cukup 'soru'.
.  

Sunday, March 18, 2012

Pemilihan nama

           Sedang dalam perjalanan pulang dari kenduri kendara yang telah dihadiri pada hari Ahad lepas,aku, mak mertua, Sorfina dan Kak Nin mula berkira-kira dan membuka topik sembang tentang apakah ejaan yang sesuai untuk diberi kepada anak sulung aku yang InsyaAllah bakal lahir dua atau tiga minggu lagi.

           Nama yang ada dalam perancangan adalah Nur Adilia. Bermaksud 'cahaya keadilan kita'. Harus diingat, nama ini telah dipilih oleh Sorfina; dan aku mengiakan sahaja apa pun namanya, asalkan baik maknanya menurut Islam. Jika Sorfina tiada keputusan untuk meletak apa-apa nama, aku bercadang untuk memberi nama 'Siti Qhadijah'; mengambil nama bersempena Ummul Mukminin, isteri kepada Rasulullah S.A.W.

          Apa yang dibincangkan bukanlah soal nama, tapi lebih kepada ejaan. Ada yang mahukan ejaan Adelyia, ada yang mahukan Adellia, Adelya, ataupun kembali kepada rancangan asal yakni Adilia. Aku tak berapa ambil pot sangat. Janji senang nak tulis.

          "Em, nanti kalau dapat anak kedua nanti, nak buh nama yang sempoi-sempoi sudahlah. Senang nak panggil..." kata aku kepada Sorfina, mak mertua dan Kak Nin.

         " Buh la nama apa pun Fahmi. Janji nama tu maksud baik." Mak mertua aku membalas.

         " Susah-susah sangat, bagi aja lah nama restoran Nasi Kandar. Senang sikit. 'Famous' pun 'famous'." Balas aku kemudiannya dengan nada bergurau.

         Sorfina dan Kak Nin pun turut pulun. Depa pun nak membalas. Maka keluarlah nama-nama restoran Nasi Kandar terkenal di Malaysia yang diambil untuk pemilihan nama anak kedua nanti.

         " Kalau macam tu, kita boh nama Nashmir ka, Kassim Mustafa ka, Subaidah ka, OK apa?" Balas Sorfina dan Kak Nin disambut hirai tawa kami sekeluarga.

          Kemudian, mak mertua aku dengan 'steady' mencelah dalam hirai tawa tersebut.

          "Nanti anak 'last' letak nama 'Line Clear'!"

         Berdekah-dekah kami sekeluarga menyambung semula ketawa yang sudah hampir surut selepas tu. Boleh tahan jugak lawak petang hari Mak mertua aku ni.

Aku pernah pekena sekali Nasi Kandaq Line Clear (terletak di jalan dalam berdekatan Penang Road dan Leboh Chulia) bersama beberapa rakan sekolah lama. Memang tuurr!

Friday, March 16, 2012

OUT

OUTCLASSED !

OUTPLAYED !

OUT-EVERYTHING !

Terimalah dengan seadanya,
Ini bukan musim kita,
Jangan putus asa,
Trofi EPL masih ada sinarnya...

Apa ada hal??

FC Basel - pemusnah harapan UEFA Champions League musim 2011/2012

Athletic Bilbao - pemusnah harapan UEROPA League musim 2011/2012 


Sakit kepala aku dibuatnya...


Mujur mamat ni masih setia bersama...menyokong dan terus mendokong
.

Thursday, March 15, 2012

Dirang dan pengajaran kisah Nabi Musa bersama Nabi Khidir

          " Suka cita saya memaklumkan pada hari ini bahawa, pada tahun 2011 indeks jenayah keseluruhan negara telah berkurangan sebanyak 11 peratus berbanding pada tahun 2010,melebihi daripada sasaran yang ditetapkan sebanyak 5 peratus.
           Pencapaian ini diiktiraf secara global dimana dalam Indeks Keamanan Global (Global Peace Index) 2011,Malaysia telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dari segi keselamatan dan keamanan. Pada tahun 2011, Malaysia adalah negara teraman dan terselamat di kalangan negara Asia Tenggara dan berada di tempat ke-19 daripada 153 negara berbanding tempat ke-26 pada 2009."

           Kata-kata diatas telah aku ambil daripada laman sesawang Timbalan Perdana Menteri Malaysia masakini, Muhyiddin Yassin. Ini adalah sebahagian daripada ucapan beliau pada 6 Mac 2012 lalu; semasa perasmian Majlis Perasmian Program Bandar Selamat Negeri Johor 2012,di Kulai, Johor.Komentar aku -kepala bana dia!

           Muhyiddin Yassin ini, jika hangpa membaca dan mengikuti blog Tukar Tiub, beliau lebih dikenali sebagai 'Malikul Sembab'. Untuk lebih penjelasan tentang nama ini, aku syorkan untuk hangpa berurusan sendiri dengan Hishamuddin Rais.

           Alhamdulillah-negara kita Malaysia memang diakui antara yang selamat. Tapi dengan kita saban waktu digemparkan sekali lagi dengan berita adik Nurul Nadirah Abdullah, ataupun dikenali sebagai Dirang yang ditemui mati dibunuh dan dibakar 2 hari lepas, membuatkan aku berpikir - ranking ke-19 ini sebenarnya tiada membawa apa-apa makna buat aku. Itu sekadar pandangan aku dan tidak pula ambil pot tentang pandangan orang lain.Terserah. Sehingga kini aku masih berasa tidak selamat untuk tidak kehilangan selipar semasa solat Jumaat di masjid.

         Apa yang lebih membuatkan untuk aku berpikir, apakah ini petanda yang Allah S.W.T ingin sampaikan kepada kita semua; disebalik kematian Allahyarhamah adik Dirang ini dan juga program bandar selamat negeri Johor 2012. Dua perkara yang berlaku di Johor dalam tempoh selang seminggu. Ini mungkin satu kebetulan sahaja, tapi cukup untuk kita renungkan dan pikir bersama.

          Cukuplah untuk aku kisahkan dan kaitkan berita kematian Allahyarhamah adik Dirang ini dengan suatu kisah yang terdapat di dalam Al-Quran. Kisah yang boleh sama-sama kita baca melalui surah ke 18 Al-Quran, yakni surah Al-Kahfi. Pada ayat ke 60 hingga 82, terdapat satu kisah yang dirakamkan di dalam Al Quran,berkenaan pertemuan dan perjalanan Nabi Musa a.s bersama Nabi Khidir a.s.

           Dikisahkan bahawa Nabi Khidir ini telah melakukan pembunuhan terhadap seorang anak kecil, yang telah mendapat tentangan dan amarah dari Nabi Musa a.s; walhal itu adalah ketetapan yang datangnya daripada Allah S.W.T yang Maha Mengetahui akan sesuatu. Banyak pengajaran disebalik kisah dan perbuatan Nabi Khidir tersebut yang boleh kita manfaatkan.

           Bukanlah aku ingin kaitkan pembunuhan anak kecil oleh Nabi Khidir ini dengan kes Allahyarhamah adik Dirang, tetapi aku ingin memberi fokus kepada hikmah disebalik kematian adik Dirang. Kematian pada seawal usia kehidupan. Kematian anak kecil dalam keadaan yang cukup kejam memang cukup memilukan, lebih-lebih lagi kepada ibu bapa dan keluarga mangsa. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, namun, percayalah, terkandung seribu satu hikmah yang ingin Allah sampaikan kepada kita. Tidak lupa juga sebagai ujian daripada Allah S.W.T untuk para hamba-hambaNya.

          "Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya."
[Al-Kahfi 18:81]

          Bersabarlah,wahai keluarga Allahyarhamah adik Dirang. Allah lebih menyayanginya dan InsyaAllah ditempatkan didalam syurgaNya yang kekal abadi. Semoga kita semua mendapat perlindungan, rahmat serta pengampunan daripada Allah S.W.T.

          Al Fatihah, buat Nurul Nadirah Abdullah a.k.a Dirang....


Credit : http://www.pmo.gov.my/tpm/?frontpage/speech/detail/1916
.

Sunday, March 11, 2012

Malaikat Subuh

          " Boleh tahan jugak bau dia ni...",kata aku setelah menenyeh-nenyeh sampel minyak wangi berjenama Bvlgari yang diisi dalam botol minyak wangi ala-ala botol minyak atar yang diletak diatas sebuah meja. Kelihatan beberapa lagi jenis minyak wangi berjenama masakini untuk golongan lelaki dan perempuan di atas meja yang sama.

            Aku memang tak 'into' sangat dan tak berapa ambil pot tentang minyak-minyak wangi ni. Dua botol minyak wangi keluaran Yves Saint Laurent dan BodyShop; sempena hantaran kahwin pihak isteri kepada aku setahun yang lepas pun, adalah tujuh ke lapan kali aku usik dan gunapakai. Hidung aku suka bersin bila tercium minyak wangi. Bagi dia, itu 'seteru' yang dia cukup alah.

            Badan aku pun bukannya busuk, jadi  buat apa nak pakai? Ketiak yang telah disembur dengan pewangi ketiak ataupun bahasa mudahnya 'deodorant' sudah memadai bagi aku.

           Sebenarnya tujuan aku bukannya untuk membeli minyak wangi di Pasar Malam Sungai Petani ni. Aku cuma melalui sebuah gerai minyak wangi di pasar malam itu, sebelum sampai ke bahagian makanan. Tujuan utama dan perdana adalah untuk membeli 'Yong Tau Foo'. Perut aku dan keluarga kemarukkan 'Yong Tau Foo' pada malam minggu yang lepas.

           Berbalik kepada babak minyak wangi tadi, sebelum aku berganjak dari gerai minyak wangi tu, tiba-tiba mata aku menangkap satu botol di kalangan minyak-minyak atar yang dipamerkan diatas meja itu. Aku ambil, aku belek dan cuba bau. Boleh tahan. Cuma namanya buat aku tergelak kecil. Makcik penjual itu pun tergelak sama memandang aku.

Malaikat subuh. Siapa yang bagi nama ni?

             "Err, berapa ni, kak?" tanya aku kepada mak cik penjual yang kelihatan 'steady' tu.
             "Owh dik, 'Malaikat Subuh' ni RM6 sebotol, kalau ambil dua botol minyak atar kami bagi RM10",balas makcik.
             "Em, tak apa kak. Terima kasih na. Lain hari saya beli, ok?" balas aku menamatkan perbualan, lalu terus 'blah' dari situ.

             Bukannya apa, aku tangguhkan dulu pembelian minyak atar 'Malaikat Subuh' tu dek terkenangkan ada tiga lagi minyak atar yang aku ada di rumah. Aku beli daripada kawan kerja satu kilang setelah disyorkan olehnya untuk dipakai ketika hendak solat. Katanya, ianya amalan sunnah Rasulullah S.A.W. Memang bagus pakai wangi-wangian;terutamanya sewaktu hendak menunaikan solat.

           Siapa la punya idea yang pi tarok nama Malaikat Subuh dekat minyak atar tu. Hebat orang Melayu ni, kreatif,inovatif dan sungguh 'power' dalam penggunaan kata-kata. Jangan ada yang beriman dengan Malaikat Subuh sudah lah.
.  

Friday, March 9, 2012

Pulut mempelam

Mempelam dan pulut (bersantan)

           Akhir bulan yang lepas, buat pertama kalinya aku pekena pulut bersama mempelam, yang menurut kata mak mertua aku ianya berasal dari Siam dan merupakan sajian popular di negeri Perlis. Selama ini, aku cuma tahu yang kombinasi buah bersama pulut hanyalah durian, dan ianya cukup menyelerakan.

          Nampaknya hidangan mempelam bersama pulut (yang ditanak bersama santan) merupakan kombinasi yang tidak berapa kena dengan selera aku kerana rasanya yang cukup manis. Makan dalam lima ke enam suap, aku dah rasa muak. Itu belum pekena dengan mempelam Harum Manis. Alamatnya, rasanya akan bertambah manis.

        Buat hangpa yang nak cuba, bolehlah buat sendiri hidangan ni.Do try this at home !
.

Wednesday, March 7, 2012

Apa nak buat dengan sisa Lynas?

Ya ampooonn,
Ya sabuuunnnn,
Ya ubun-ubunnn,

Untuk para pembaca yang dihormati dan dikasehi,
Sila ambil pot dan kaji sejarah tentang kilang radioaktif di Malaysia,
Sila ambil pot dan sedar tentang radioaktif yang berleluasa,
Sila ambil pot tentang Loji penapisan nadir bumi Lynas,
Kenapa ianya perlu dinyahkan dan ditentang.

Ingat lagi Penapisan Nadir Bumi di Bukit Merah, Perak?
Ingat lagi operasi Syarikat Mitsubishi, Jepun di Bukit Merah?

Memang kita akui,
Setiap hari kita terdedah dengan radiasi,
Tapi ianya berskala kecil- telepon, televisyen, mesin kilang, alatan perubatan,
Tapi kilang Lynas ini,
Bukan calang-calang,
Ini pasal kilang pemprosesan nadir bumi seluas 250 kali padang bola sepak,
Ini pasal kilang pemprosesan nadir bumi seluas 441.08 ekar!

Tak pikir lagi cara nak buang sisa nadir dan penapisan,
Kilang sudah siap-tunggu masa untuk operasi
Tak dapat lagi lesen penuh IAEA,
Kilang sudah siap,

Apa punya tuuurrrr ??


Nota: Pencerahan untuk pembaca yang dihormati dan dikasehi

http://www.nytimes.com/2011/03/09/business/energy-environment/09rareside.html

http://semutmalaysia.blogspot.com/2012/02/cerita-dan-gambar-gambar-kegagalan.html

http://ariffshah.com/malaysia-kilang-lynas-najib-razak/

http://blogserius.blogspot.com/2012/03/serius-fakta-stoplynas-kenapa-anda.html

Sila ambil pot apa ulasan dan kenyataan para pemimpinan kita.

Pikir-pikirkan bersama...

Ihsan The Star online - Persoalannya, negara mana yang nak ambil sisa nadir bumi ini? Mana nak buang dan urus sisa ini jika tiada yang sudi?

Ihsan The Star online - Sekali lagi,persoalannya, negara mana yang nak ambil sisa nadir bumi ini? Kenapa tak dirancang awal-awal sampai habis, kemudian baru bina kilang?

Ihsan Utusan Meloya-Persoalannya, negara mana yang nak ambil sisa nadir bumi ini? Nak guna pengangkutan apa untuk angkut keluar sisa nadir bumi ini? Kapal, lori, laluan udara?
.

Monday, March 5, 2012

Sepucuk surat untuk diri dan sahabat


Sahabat,
Aku dikhabarkan bahawa dirimu kini sedang menghadapi ujian yang maha berat
Yang mana tidaklah begitu terang dan jelas
Apakah dia bentuk ujian yang telah dan engkau bakal harongi itu

Aku yakin bahawa engkau cukup kuat dan punyai kegagahan untuk menempuhi semua ini
Pastilah sering kau dengar bahawa berita tentang ujian; yang tidak lain dan tidak bukan
Hanya akan menambahkan keimanan- ataupun sebaliknya
Bagaimana dengan khabarmu hari ini?

Ketahuilah wahai sahabat,
Juga buat ingatan empunya diri,

"Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta."

Kata-kata ini telah dinukilkan dalam surah Al Ankabut, ayat 2 hingga 3

Mungkin kita sering bertanya - kenapa dan mengapa aku yang terpilih untuk menghadapi ujian ini?
Kenapa aku tidak bebas dari ujian ini?
Kenapa pula tidak bahagia seperti manusia-manusia lain?
Ketahuilah sahabat,
Bahawa Allah itu Maha Mengetahui akan yang terbaik bagimu-dan mereka yang lain.

"...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."
Wahai sahabat,
Kata-kata ini telah dinukilkan dalam surah Al Baqarah, ayat 216.

Sedarlah wahai sahabat,
Manusia itu memang mudah dirundung keluh kesah,
Dan itu harus disedari datangnya dari syaitan
Sesungguhnya, bila hati ini penuh keyakinan
bahawa Allah itu akan mengujinya sesuai dengan kadar kemampuannya,
Maka hatinya akan tenang-setenangnya.

"Allah tidak akan membebani seseorang itu melainkan dengan apa yang terdaya olehnya"
Itulah janji Allah
Yang telah difirmankan dalam surah Al Baqarah, ayat 286.

Percayalah wahai sahabat !
Akan darjat yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T terhadap orang-orang beriman
Yang telah diuji dan dikenakan kesusahan
Agar engkau terus tabah dalam mengharungi hari-hari yang mendatang.

Buat sahabat yang aku cintai,
Diharapkan agar engkau bersabar dan jangan terus hilang sabar
Kerana sabar itu bukan hanya cukup sekali
Tapi ianya perlu berterusan- tanpa titik noktah
Kerana pada hujungya
Kerana pada akhirnya
Allah S.W.T akan memenangkanmu dalam menangani ujian yang berat ini.


"..sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar."
Al Anfaal, ayat ke 46,
Ayat ini sudah cukup
untuk aku sampaikan kepadamu, wahai sahabat
Akan betapa mulia dan beruntungnya
Akan orang-orang yang sabar disisi Allah S.W.T
Tidakkah ianya satu nikmat dan rahmat yang cukup-cukup besar,
Jika Allah S.W.T itu, amat dekat dan rapat bersama-sama kita?

Akhir kalam,
Sebelum aku mencoret kata-kata akhir dalam surat ini,
Sebagai ingatan untuk diri sendiri dan kamu wahai sahabatku,
Janganlah berputus asa dalam menghadapi ujian dalam hidup ini,
Lakukanlah dan tunaikanlah solat dengan penuh khusyuk,
Mintalah pertolongan dengan Allah S.W.T,
yang akan senantiasa dan kekal sebagai Maha Mendengar dan Maha Mengasihani,
Hanya kepada Allah S.W.T sahajalah hendaknya kita berharap.

Katakanlah wahai sahabatku,
"Hasbunallah hu waniqmal wakiil",
Cukuplah Allah sebagai penolong kami, dan Allah adalah sebaik-baik pelindung !
Sepertimana yang telah tercatat di dalam surah Al Imraan,
ayat ke 173.

Ketahuilah wahai sahabatku,
Bahawa sekalian apa ujian yang engkau hadapi dan lalui dengan sabar itu,
Bukanlah suatu yang sia-sia,
InsyaAllah -Akan dikurniakan kemuliaan, rahmat dan ganjaran yang amat besar
Disisi Allah S.W.T
Semoga Allah S.W.T memuliakanmu dengan ujian yang dihadapi ini.
Amin...
.