Aku memang tak 'into' sangat dan tak berapa ambil pot tentang minyak-minyak wangi ni. Dua botol minyak wangi keluaran Yves Saint Laurent dan BodyShop; sempena hantaran kahwin pihak isteri kepada aku setahun yang lepas pun, adalah tujuh ke lapan kali aku usik dan gunapakai. Hidung aku suka bersin bila tercium minyak wangi. Bagi dia, itu 'seteru' yang dia cukup alah.
Badan aku pun bukannya busuk, jadi buat apa nak pakai? Ketiak yang telah disembur dengan pewangi ketiak ataupun bahasa mudahnya 'deodorant' sudah memadai bagi aku.
Sebenarnya tujuan aku bukannya untuk membeli minyak wangi di Pasar Malam Sungai Petani ni. Aku cuma melalui sebuah gerai minyak wangi di pasar malam itu, sebelum sampai ke bahagian makanan. Tujuan utama dan perdana adalah untuk membeli 'Yong Tau Foo'. Perut aku dan keluarga kemarukkan 'Yong Tau Foo' pada malam minggu yang lepas.
Berbalik kepada babak minyak wangi tadi, sebelum aku berganjak dari gerai minyak wangi tu, tiba-tiba mata aku menangkap satu botol di kalangan minyak-minyak atar yang dipamerkan diatas meja itu. Aku ambil, aku belek dan cuba bau. Boleh tahan. Cuma namanya buat aku tergelak kecil. Makcik penjual itu pun tergelak sama memandang aku.
Malaikat subuh. Siapa yang bagi nama ni?
"Err, berapa ni, kak?" tanya aku kepada mak cik penjual yang kelihatan 'steady' tu.
"Owh dik, 'Malaikat Subuh' ni RM6 sebotol, kalau ambil dua botol minyak atar kami bagi RM10",balas makcik.
"Em, tak apa kak. Terima kasih na. Lain hari saya beli, ok?" balas aku menamatkan perbualan, lalu terus 'blah' dari situ.
Bukannya apa, aku tangguhkan dulu pembelian minyak atar 'Malaikat Subuh' tu dek terkenangkan ada tiga lagi minyak atar yang aku ada di rumah. Aku beli daripada kawan kerja satu kilang setelah disyorkan olehnya untuk dipakai ketika hendak solat. Katanya, ianya amalan sunnah Rasulullah S.A.W. Memang bagus pakai wangi-wangian;terutamanya sewaktu hendak menunaikan solat.
Siapa la punya idea yang pi tarok nama Malaikat Subuh dekat minyak atar tu. Hebat orang Melayu ni, kreatif,inovatif dan sungguh 'power' dalam penggunaan kata-kata. Jangan ada yang beriman dengan Malaikat Subuh sudah lah.
.
kalau nama Malaikat Maut, mau rm60 sebotol. hahaha!
ReplyDeleteSM, mungkin pakai dekat kain kapan kalau Malaikat Maut..bagus selalu ingat mati ni
ReplyDeleteok, tapi jangan bagi bau mayat hidup dalam botol tu sudah...!
ReplyDelete