Thursday, March 15, 2012

Dirang dan pengajaran kisah Nabi Musa bersama Nabi Khidir

          " Suka cita saya memaklumkan pada hari ini bahawa, pada tahun 2011 indeks jenayah keseluruhan negara telah berkurangan sebanyak 11 peratus berbanding pada tahun 2010,melebihi daripada sasaran yang ditetapkan sebanyak 5 peratus.
           Pencapaian ini diiktiraf secara global dimana dalam Indeks Keamanan Global (Global Peace Index) 2011,Malaysia telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dari segi keselamatan dan keamanan. Pada tahun 2011, Malaysia adalah negara teraman dan terselamat di kalangan negara Asia Tenggara dan berada di tempat ke-19 daripada 153 negara berbanding tempat ke-26 pada 2009."

           Kata-kata diatas telah aku ambil daripada laman sesawang Timbalan Perdana Menteri Malaysia masakini, Muhyiddin Yassin. Ini adalah sebahagian daripada ucapan beliau pada 6 Mac 2012 lalu; semasa perasmian Majlis Perasmian Program Bandar Selamat Negeri Johor 2012,di Kulai, Johor.Komentar aku -kepala bana dia!

           Muhyiddin Yassin ini, jika hangpa membaca dan mengikuti blog Tukar Tiub, beliau lebih dikenali sebagai 'Malikul Sembab'. Untuk lebih penjelasan tentang nama ini, aku syorkan untuk hangpa berurusan sendiri dengan Hishamuddin Rais.

           Alhamdulillah-negara kita Malaysia memang diakui antara yang selamat. Tapi dengan kita saban waktu digemparkan sekali lagi dengan berita adik Nurul Nadirah Abdullah, ataupun dikenali sebagai Dirang yang ditemui mati dibunuh dan dibakar 2 hari lepas, membuatkan aku berpikir - ranking ke-19 ini sebenarnya tiada membawa apa-apa makna buat aku. Itu sekadar pandangan aku dan tidak pula ambil pot tentang pandangan orang lain.Terserah. Sehingga kini aku masih berasa tidak selamat untuk tidak kehilangan selipar semasa solat Jumaat di masjid.

         Apa yang lebih membuatkan untuk aku berpikir, apakah ini petanda yang Allah S.W.T ingin sampaikan kepada kita semua; disebalik kematian Allahyarhamah adik Dirang ini dan juga program bandar selamat negeri Johor 2012. Dua perkara yang berlaku di Johor dalam tempoh selang seminggu. Ini mungkin satu kebetulan sahaja, tapi cukup untuk kita renungkan dan pikir bersama.

          Cukuplah untuk aku kisahkan dan kaitkan berita kematian Allahyarhamah adik Dirang ini dengan suatu kisah yang terdapat di dalam Al-Quran. Kisah yang boleh sama-sama kita baca melalui surah ke 18 Al-Quran, yakni surah Al-Kahfi. Pada ayat ke 60 hingga 82, terdapat satu kisah yang dirakamkan di dalam Al Quran,berkenaan pertemuan dan perjalanan Nabi Musa a.s bersama Nabi Khidir a.s.

           Dikisahkan bahawa Nabi Khidir ini telah melakukan pembunuhan terhadap seorang anak kecil, yang telah mendapat tentangan dan amarah dari Nabi Musa a.s; walhal itu adalah ketetapan yang datangnya daripada Allah S.W.T yang Maha Mengetahui akan sesuatu. Banyak pengajaran disebalik kisah dan perbuatan Nabi Khidir tersebut yang boleh kita manfaatkan.

           Bukanlah aku ingin kaitkan pembunuhan anak kecil oleh Nabi Khidir ini dengan kes Allahyarhamah adik Dirang, tetapi aku ingin memberi fokus kepada hikmah disebalik kematian adik Dirang. Kematian pada seawal usia kehidupan. Kematian anak kecil dalam keadaan yang cukup kejam memang cukup memilukan, lebih-lebih lagi kepada ibu bapa dan keluarga mangsa. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, namun, percayalah, terkandung seribu satu hikmah yang ingin Allah sampaikan kepada kita. Tidak lupa juga sebagai ujian daripada Allah S.W.T untuk para hamba-hambaNya.

          "Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya."
[Al-Kahfi 18:81]

          Bersabarlah,wahai keluarga Allahyarhamah adik Dirang. Allah lebih menyayanginya dan InsyaAllah ditempatkan didalam syurgaNya yang kekal abadi. Semoga kita semua mendapat perlindungan, rahmat serta pengampunan daripada Allah S.W.T.

          Al Fatihah, buat Nurul Nadirah Abdullah a.k.a Dirang....


Credit : http://www.pmo.gov.my/tpm/?frontpage/speech/detail/1916
.

1 comment: