Tabiat Mashed Pomegranate Seed yang boleh dibeli di Turki
Sedang dalam pemanduan menuju ke rumah mertua aku, aku merenung jalan raya yang keadannya tak ubah macam permukaan satelit semulajadi bumi, bulan; sambil kedua belah tangan menggenggam erat 'steering' kereta Alza kepunyaan Sorfina. Bukan apa, takut -takut terlarinya pemanduan dek kerana lubang-lubang dan bonggol-bonggol di tengah jalan yang umpama jerawat batu yang dialami oleh pelajar lepasan SPM.
Kereta aku pula sedang menjalani rawatan 'air cond' di salah sebuah 'woksyop' terkemuka di Sungai Petani. Terkemuka lah sangat. Woksyop biasa saja untuk golongan marhaen macam aku ni. Kereta tua,maklum-maklum ajalah. Usianya hanya 5 tahun muda dari usia aku. Aku yakin dengan rawatan dan perbelanjaan yang dikeluarkan kali ini, suhu dalaman kereta aku tidak lagi membahang seperti suhu di Gurun Kalahari. InsyaAllah.
Sorfina telah mula kerja dari rumah, ataupun WFH bermula pada minggu ini dan akan cuti sepenuhnya minggu depan sempena menghadapi detik-detik mendebarkan bagi saorang ibu menantikan cahaya mata sulung. Aku 'rileks' sahaja. Kena zahirkan perasaan 'kool' itu kerana semuanya aku serahkan kepadaNya. Aku cuma berdoa dan buat apa yang patut sebagai persediaan.
Ketiadaan Sorfina menemani aku di dalam kereta dalam perjalanan pergi dan pulang ke kilang kami bekerja sejak beberapa hari ini membuatkan aku memikirkan kembali tabiat-tabiat aku yang aku pikir ianya amat buruk dan hodoh sekali. Aku harap agar anak aku yang bakal lahir ini tidak mencontohi jejak langkah aku ini.
Antara kerisauan yang paling kuat ialah tabiat aku menggali lubang hidung. Bukannya apa, hidung aku selalu gatal kerana resdung. Aku selalu 'resah di hidung'. Justeru, menggali lubang hidung, ataupun mengorek hidung, dapat menenangkan kegusaran hatta 'kerunsingan' yang terdapat pada hidung. Pun begitu,aku tidak mengabaikan tanggungjawab untuk membasuh tangan selepas kerja-kerja penggalian.
Tabiat buruk lain aku ialah kurangnya kesabaran ketika pemanduan. Ada saja carutan dan kata-kata kesat (contohnya perkataan 'bangang' ataupun 'babi') yang terhambur sekiranya kereta, lori ataupun motorsikal di jalan raya yang tidak memenuhi kehendak pemanduan berhemah. Senang kata, mengikut kehendak pemanduan aku.
Untuk itu,aku berazam untuk melakukan aktiviti galian ini di dalam tandas agar tidak ditiru oleh anak-anak aku suatu hari nanti. Tentang carutan dan kata-kata kesat semasa pemanduan pula, aku akan cepat-cepat beristighfar, bersabar atapun berbaik sangka. Mungkin orang tersebut hendak memandu laju ataupun memintas kita kerana sakit perut yang melampau ataupun bininya mahu beranak dan perlu bergegas sepantas mungkin ke hospital.
Namun, setiap keburukan, pasti ada hikmahnya dan keseimbangan. Bukan aku hendak menunjuk-nunjuk, tapi lebih untuk berkongsi perbuatan baik supaya dapat dimanfaatkan bersama. Aku mempunyai tabiat untuk tidak suka membuang sampah merata-rata, walaupun berada di tempat awam dan tidak sukakan pembaziran makanan.
Aku sanggup menyimpan sampah didalam poket sendiri dari dibuang ke tepi jalan atau di tempat yang tiada tong sampah. Tapi kalau benda yang boleh terbiodegrasi, contohnya kulit pisang, aku akan buang di atas rumput tepi jalan atau di dalam pasu bunga taman sebagai 'baja' tambahan.
Walaupun perbuatan itupun tidak manis dipandang, aku teruskan sahaja berdasarkan prinsip itu. Namun, benda-benda seperti kotak minuman, plastik coklat, atau plastik minuman, aku akan pastikan untuk simpan didalam poket atau kenderaan sebelum buang di dalam tong sampah.
Berbalik kepada pembaziran makanan, jika Sorfina tidak larat menghabiskan makanan, aku akan habiskan. "Tak baik membazir makanan", itulah yang selalu aku pesankan kepada Sorfina, saudara mara serta taulan jika selesai sesi makan bersama. Syaitan sukakan pembaziran dan mengikut jejak langkah syaitan adalah suatu yang patut kita hindarkan.
Berbalik kepada tabiat tidak sukakan pembaziran makanan, berat badan aku juga bertambah akibat penangan makanan Sorfina yang kadang-kadangnya tidak habis. Tak apalah, pandai-pandailah aku 'eksesais' nanti!
.
No comments:
Post a Comment