Monday, March 5, 2012

Sepucuk surat untuk diri dan sahabat


Sahabat,
Aku dikhabarkan bahawa dirimu kini sedang menghadapi ujian yang maha berat
Yang mana tidaklah begitu terang dan jelas
Apakah dia bentuk ujian yang telah dan engkau bakal harongi itu

Aku yakin bahawa engkau cukup kuat dan punyai kegagahan untuk menempuhi semua ini
Pastilah sering kau dengar bahawa berita tentang ujian; yang tidak lain dan tidak bukan
Hanya akan menambahkan keimanan- ataupun sebaliknya
Bagaimana dengan khabarmu hari ini?

Ketahuilah wahai sahabat,
Juga buat ingatan empunya diri,

"Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta."

Kata-kata ini telah dinukilkan dalam surah Al Ankabut, ayat 2 hingga 3

Mungkin kita sering bertanya - kenapa dan mengapa aku yang terpilih untuk menghadapi ujian ini?
Kenapa aku tidak bebas dari ujian ini?
Kenapa pula tidak bahagia seperti manusia-manusia lain?
Ketahuilah sahabat,
Bahawa Allah itu Maha Mengetahui akan yang terbaik bagimu-dan mereka yang lain.

"...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."
Wahai sahabat,
Kata-kata ini telah dinukilkan dalam surah Al Baqarah, ayat 216.

Sedarlah wahai sahabat,
Manusia itu memang mudah dirundung keluh kesah,
Dan itu harus disedari datangnya dari syaitan
Sesungguhnya, bila hati ini penuh keyakinan
bahawa Allah itu akan mengujinya sesuai dengan kadar kemampuannya,
Maka hatinya akan tenang-setenangnya.

"Allah tidak akan membebani seseorang itu melainkan dengan apa yang terdaya olehnya"
Itulah janji Allah
Yang telah difirmankan dalam surah Al Baqarah, ayat 286.

Percayalah wahai sahabat !
Akan darjat yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T terhadap orang-orang beriman
Yang telah diuji dan dikenakan kesusahan
Agar engkau terus tabah dalam mengharungi hari-hari yang mendatang.

Buat sahabat yang aku cintai,
Diharapkan agar engkau bersabar dan jangan terus hilang sabar
Kerana sabar itu bukan hanya cukup sekali
Tapi ianya perlu berterusan- tanpa titik noktah
Kerana pada hujungya
Kerana pada akhirnya
Allah S.W.T akan memenangkanmu dalam menangani ujian yang berat ini.


"..sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar."
Al Anfaal, ayat ke 46,
Ayat ini sudah cukup
untuk aku sampaikan kepadamu, wahai sahabat
Akan betapa mulia dan beruntungnya
Akan orang-orang yang sabar disisi Allah S.W.T
Tidakkah ianya satu nikmat dan rahmat yang cukup-cukup besar,
Jika Allah S.W.T itu, amat dekat dan rapat bersama-sama kita?

Akhir kalam,
Sebelum aku mencoret kata-kata akhir dalam surat ini,
Sebagai ingatan untuk diri sendiri dan kamu wahai sahabatku,
Janganlah berputus asa dalam menghadapi ujian dalam hidup ini,
Lakukanlah dan tunaikanlah solat dengan penuh khusyuk,
Mintalah pertolongan dengan Allah S.W.T,
yang akan senantiasa dan kekal sebagai Maha Mendengar dan Maha Mengasihani,
Hanya kepada Allah S.W.T sahajalah hendaknya kita berharap.

Katakanlah wahai sahabatku,
"Hasbunallah hu waniqmal wakiil",
Cukuplah Allah sebagai penolong kami, dan Allah adalah sebaik-baik pelindung !
Sepertimana yang telah tercatat di dalam surah Al Imraan,
ayat ke 173.

Ketahuilah wahai sahabatku,
Bahawa sekalian apa ujian yang engkau hadapi dan lalui dengan sabar itu,
Bukanlah suatu yang sia-sia,
InsyaAllah -Akan dikurniakan kemuliaan, rahmat dan ganjaran yang amat besar
Disisi Allah S.W.T
Semoga Allah S.W.T memuliakanmu dengan ujian yang dihadapi ini.
Amin...
.

3 comments:

  1. subhanallah...smoga menjadi pedoman dan panduan..

    ReplyDelete
  2. smoga menjadi panduan buat diriku jua,,thank you.

    ReplyDelete
  3. Semoga aku jua sentiasa bersedia dengan segala ujian dan dugaan-Nya

    ReplyDelete