Riyadhus Solihin ; oleh Imam Nawawi (Nama sebenar beliau Abu Zakaria ,seorang tokoh hadis dan Fiqh)
Dalam Bab 11 kitab Riyadhus Solihin ,iaitu tajuk "bersungguh-sungguh", ada dinyatakan tentang sebuah hadis yang amat mahsyur dan adalah amat baik untuk kita jadikan panduan dalam hidup. Di dalam Al-Quran banyak menceritakan perihal zalim, lebih-lebih lagi tentang berbuat kezaliman terhadap diri sendiri. Intipati hadis berkenaan zalim adalah seperti yang berikut :
"Dari Said bin Abdul Aziz dari Rabi'ah bin Yazid dari Abu Idris al- Khawlani dari Abu Zar, yaitu Jundub bin Junadah r.a dari Rasulullah S.A.W, dalam sesuatu yang diriwayatkan dari Allah S.W.T, bahawasanya Allah berfirman (ini merupakan Hadis Qudsi):
"Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku mengharamkan pada diriku sendiri akan menganiaya dan menganiaya itu Kujadikan haram di antara engkau sekalian. Maka dari itu, janganlah engkau sekalian saling menganiaya.
Wahai hamba-hambaKu, engkau semua itu tersesat, kecuali orang yang Kuberi petunjuk. Maka itu mohonlah petunjuk padaKu, engkau semua tentu Kuberi petunjuk itu.
Wahai hamba-hambaKu, engkau semua itu lapar, kecuali orang yang Kuberi makan.Maka mohonlah makan padaKu, engkau semua tentu Kuberi makanan itu.
Wahai hamba-hambaKu, engkau semua itu telanjang, kecuali orang yang Kuberi pakaian. Maka mohonlah pakaian padaKu, engkau semua tentu Kuberi pakaian itu.
Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya engkau semua itu berbuat kesalahan pada malam dan siang hari dan Aku inilah yang mengampunkan segala dosa. Maka mohon ampunlah padaKu, pasti engkau semua Kuampuni.
Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya engkau semua itu tidak dapat membahayakan Aku. Maka andaikata dapat, tentu engkau semua akan membahayakan Aku. Lagi pula engkau semua itu tidak dapat memberikan kemanfaatan padaKu. Maka andaikata dapat, tentu engkau semua akan memberikan kemanfaatan itu padaKu.
Wahai hamba-hambaKu, andaikata orang yang paling mula-mula -awal-hingga yang paling akhir, juga semua golongan manusia dan semua golongan jin, sama bersatu padu seperti hati seseorang yang paling taqwa dari antara engkau semua, hal itu tidak akan menambah keagungan sedikitpun pada kerajaanKu.
Wahai hamba-hambaKu, andaikata orang yang paling mula-mula -awal -hingga yang paling akhir, juga semua golongan manusia dan semua golongan jin, sama bersatu padu seperti hati seseorang yang paling kufur dari antara engkau semua, hal itu tidak akan dapat mengurangi keagungan sedikitpun pada kerajaanKu.
Wahai hamba-hambaKu, andaikata orang yang paling mula-mula -awal -hingga yang paling akhir, juga semua golongan manusia dan semua golongan jin, sama berdiri di suatu tempat yang tinggi di atas bumi, lalu tiap seseorang meminta sesuatu padaKu dan tiap-tiap satu Kuberi menurut permintaannya masing-masing, hal itu tidak akan mengurangi apa yang menjadi milikKu, melainkan hanya seperti jarum bila dimasukkan ke dalam laut -jadi berkurangnya hanyalah seperti air yang melekat pada jarum tadi.
Wahai hamba-hambaKu, bahawasanya semua itu adalah amalan-amalanmu sendiri. Aku menghitungnya bagimu lalu Aku memberikan balasannya. Maka barangsiapa mendapatkan kebaikan, hendaklah ia memuji kepada Allah dan barangsiapa yang mendapatkan selain itu, hendaklah jangan menyesali kecuali pada dirinya sendiri."
Said berkata: "Abu Idris itu apabila menceriterakan Hadis ini, ia duduk di atas kedua lututnya." [Riwayat Muslim]
******
Penjelasan:
Hadis yang diriwayatkan oleh Rasulullah S.A.W dan berasal dari Allah seperti Hadis di atas ini disebut Hadis Qudsi (suci). Perbezaanya dengan al-Quran ialah kalau al-Quran merupakan mu'jizat sedang Hadis Qudsi tidak. Lagi pula hanya dengan membaca sahaja al-Quran itu sudah merupakan ibadat. Yang penting kita kena perhatikan ialah:
(a) Menganiaya atau menzalimi itu adalah benar-benar besar dosanya dan doanya orang yang dianiaya/ dizalimi itu tidak akan ditolak oleh Allah yakni pasti dimakbulkan sebagaimana sabda Nabi S.A.W "Takutlah pada doanya orang yang dianiaya, sekalipun ia itu kafir kerana sesungguhnya sahaja tidak ada tabir yang menutup antara doa orang itu dengan Allah."
(b) Semua dosa itu dapat diampuni oleh Allah asalkan kita memohon pengampunan serta bertaubat kecuali syirik (menyekutukan Allah), sebagaimana dalam al-Quran disebutkan: "Sesungguhnya Allah tidak suka mengampuni kalau Dia disekutukan dengan lainNya dan Dia suka mengampuni yang selain itu pada orang yang dikehendaki olehNya."
(c) Kalau kita taat pada Allah, melakukan semua perintahNya, ini bukan bererti bahawa Allah perlu kita taati. Kita taat atau tidak bagi Allah tetap sahaja. Maka bukannya kalau kita taat, Allah bertambah mulia atau kalau kita ingkar lalu Allah makin berkurang kemuliaanNya. Itu tidak sama sekali. Hanya Allah sahaja menyediakan tempat kesenangan (syurga) bagi orang yang taat dan tempat seksa (neraka) bagi orang yang ingkar.
(d) Orang yang amat bertaqwa yang dimaksudkan dalam Hadis ini ialah Nabi Muhammad S.A.W dan yang paling kufur itu ialah syaitan; kerana syaitan itu dahulunya bernama Azazil dan termasuk dalam golongan jin.
(e) Mengenai perbandingan begitu banyaknya air laut, kalau isinya hanya dikurangi oleh jarum yang melekat di situ, maka kekurangan itu tidak bererti sama sekali. Begitulah perumpamaannya jikalau Allah memakbulkan kesemua permohonan dan permintaan makhlukNya.
.
No comments:
Post a Comment