Beberapa petikan dari khutbah Jumaat yang disampaikan khatib ketika solat Jumaat di Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim tadi. Alhamdulillah, hari ni tak berapa nak mengantuk sangat 'time' pekena khutbah, jadi dapat lah ingat beberapa kerat petikan khutbah untuk ditulis. Semoga dapat memberi manfaat buat kita semua, InsyaAllah.
******
1) Sombong dan takbur merupakan sifat yang menyebabkan terusirnya Iblis & Syaitan (yang sebelum ini merupakan makhluk Allah yang taat & kuat beribadah) ;disebabkan keengganan untuk sujud kepada Nabi Adam a.s sebagaimana diperintahkan Allah s.w.t.
2) Antara kisah-kisah umat terdahulu yang sombong,bongkak dan takbur yang diceritakan di dalam Al-Quran adalah seperti Firaun (menolak dakwah Nabi Musa a.s) , Qarun (sombong dengan kemewahan dunia) , golongan musyrikin Quraisy (menolak dakwah Rasulullah s.a.w) , kaum A'ad (menolak dakwah Nabi Hud a.s) dan kaum Bani Israel (menolak dakwah Nabi Musa a.s).
3) Cara untuk menghindari sikap sombong dan takbur adalah dengan memperbanyakkan ucapan syukur,pujian terhadap Allah s.w.t dan sentiasa beristighfar. Ini adalah segala ilmu, kemewahan, kelebihan, serta aset yang kita perolehi datangnya dari rahmat Allah s.w.t.
4) Sombong merupakan sifat khusus hanya kepada Allah s.w.t. Ini bertepatan dengan hadis berikut :
"Sifat sombong itu selendang-KU, dan keagungan itu pakaian-KU. Barangsiapa yang menentang-KU dari keduanya, maka AKU masukkan ia ke neraka Jahannam." (Hadis Riwayat : Muslim, Abu Dawud dan Ahmad)
******
"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;" [An-Nisaa' 4:36]
"Oleh itu, masukilah pintu-pintu neraka, tinggal kekallah kamu di dalamnya; maka sesungguhnya (neraka itu) seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur". [Al-Nahl 16:29]
"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri." [Luqman 31:18]
.
No comments:
Post a Comment