Tuesday, January 11, 2011

Kerja kerja kerja

          

        Entry kali ni aku baca dari sebuah blog yang aku follow,blogger dia Lucius Maximus. Idea dan pengetahuan yang dikongsikan dalam blog beliau amat menarik and once make me ponder. Lebih kawlat untuk berfikir tentang topik-topik berat ini ketika 'melabur'. Ya, 'melabur' di ASJ.

        Ini antara kandungan yang disampaikan. Chill.

******

“lucy sayang, ini teguran saya.tak boleh membandingkan sebuah negara yang telah membentuk negara selama beratus tahun dengan Malaysia yang baru 50 tahun membentuk negara. ia tak adil. sama seperti demokrasi di Sepanyol yang telah terbentuk sekitar 1800 berbanding di Malaysia yang baru 50tahun lebih.

pelan2 kayuh lah. nanti lagi 50tahun, maybe kita akan nikmati kemudahan seperti itu. anak2 cucu kita mungkin akan kerja 6jam sehari je. mungkin lagi 50tahun, PM kita first time dari berkulit gelap. mana tauuu.


jawapannya mudah, tiada kesenangan dalam membentuk ketamadunan. sepanyol contohnya, walau kini kita nampak mereka senang lenang bekerja 6 jam sahaja. tapi, sewaktu negara mereka hendak mencapai tahap itu, pada sekitar 1500 hingga 1800. negara mereka di galakkan menjajah negara timur untuk mendapatkan khazanah dah harta dari negara lain. dan kerja menjajah bukanlah perkara mudah. 24jam on call. mereka berperang, berbunuhan, crusade untuk survive. untuk glory dan semata-mata status civilization yang mereka rencahkan sendiri.

anak muda sekarang. mengelak hendak bekerja kuat. apa salahnya bekerja kuat? hidup sekali saja kan? kita ni ialah generasi X dan Y yang tahu komplen dan membanding-bandingkan untuk keselesaan yang memalaskan diri kamu sendiri. tiada negara maju yang kita lihat kini adalah negara yang tercipta sendiri menjadi senang. semuanyaada peristiwa kesusahan, bekerja kuat, revolusi, perang dan sebagainya.”

2010 Oktober 20 16:14

Betul apa yang dikatakan oleh kamu, tidak ada kesenangan dalam membentuk ketamadunan. Atau dalam erti kata yang lebih mudah, kalau mahu senang kenalah bersusah dahulu Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian kata pepatah, betul?

Kita juga tidak pernah senang dalam membentuk ketamadunan. Kita juga pernah berbunuhan, berperang, dijajah dan bermacam lagi. Kita melalui kesusahan sama seperti apa yang dilalui oleh Sepanyol dan juga negara lain. Mungkin beza antara kita dan Sepanyol, kita dijajah sementara mereka pula menjajah dan perbezaan jangka hayat negara Sepanyol yang telah terbentuk ratusan tahun lamanya dengan Malaysia yang belum mencecah 50 tahun usianya.

Jika itulah yang hendak dijadikan kayu pengukur (usia sesebuah negara) maka bagaimana dengan Jepun yang juga telah terbentuk ratusan tahun lamanya tetapi masih lagi mengamalkan budaya masa kerja yang panjang, malah lebih panjang dari puratanya rakyat Malaysia bekerja?

Terus-terang, bila aku menulis Plus Ultra, usia negara atau status negara itu maju atau tidak bukan menjadi pertimbangan aku. Sebaliknya aku lebih melihat kepada corak budaya kerja. Budaya kerja Eropah berbeza dengan budaya kerja Jepun, Malaysia mahu pun Amerika Syarikat.

Kamu mengatakan kita perlu menunggu mungkin 50 tahun lagi untuk mengecapi kesenangan seperti di Sepanyol. Kita perlu bekerja kuat kerana hidup hanya sekali, jangan malas dan jangan terlalu banyak membuat komplen.

Soalnya apa itu kerja kuat? Kenapa perlu kerja kuat kalau kita boleh kerja secara bijak? Bagi aku orang Jepun mungkin bangsa yang mengamalkan kerja kuat. Si isteri kalau boleh mahukan suaminya pulang lewat malam kerana tidak mahu mendapat malu dari jiran tetangga. Di Jepun sana khabarnya mereka yang pulang petang dianggap sebagai pemalas, isteri mana yang mahu suaminya dilabel seorang pemalas, bukan?

Itu kerja kuat. Dan kerja kuat bagi aku bukan kerja yang bijak tetapi sebaliknya kerja orang yang bodoh.

Apa itu kerja? Dari jam 8 pagi hingga 5 petang mengikut waktu pejabat awam di Malaysia dikira sebagai kerjakah? Bagaimana pulang ke rumah meluang masa bersama keluarga, kerjakah itu? Menumpukan pada hobi dan minat, bersukan dan beriadah, bolehkah dikira sebagai kerja?

Takrifan kerja yang mudah ialah sesuatu yang dilakukan untuk mendapat upah sebagai balasan. Tapi itu takrifan kaum pemodal. Takrifan kaum pemodal dan majikan yang ghairah menyuruh kita kerja kuat untuk tempoh yang lebih lama.

Jadi apa takrifan kerja untuk kita insan biasa? Kamu dan kamu di luar sana? Kerja ialah apa yang kita lakukan untuk faedah sendiri dan orang lain, khususnya mereka yang rapat dengan kita. Pulang rumah awal untuk meluang masa bersama keluarga? Itu kerja. Mempunyai lebih masa peribadi untuk hobi dan minat kita? Itu juga kerja. Beriadah dan bersukan? Kerja namanya.

Betul atau tidak? Itu semua kita lakukan untuk faedah sendiri dan orang lain. Di Jepun mereka malu pulang awal kerana itu tandanya tidak kerja kuat dan pemalas. Mereka lupa meluang lebih masa bersama isteri dan anak-anak juga satu pekerjaan. Itu sebab di Jepun kadar kelahiran sangat rendah, kerana si suami terlalu penat untuk bersama si isteri setelah pulang lewat malam ke rumah. Lelaki Jepun terlupa mengerjakan isteri mereka adalah juga satu pekerjaan!

Dalam pos Plus Ultra, ianya bukan tentang menyuruh kita jadi malas bekerja. Tapi sebaliknya apa yang aku ingin tekankan ialah ada banyak lagi perkara yang lebih penting dalam hidup ini dari ‘kerja’ yang kita buat di tempat kerja. Aku bangkitkan tentang budaya kerja di Sepanyol agar kita sedar di mana mungkin yang tidak betul tentang sistem budaya kerja kita. Mungkin kita tidak dapat mengubahnya sekarang, tapi mungkin di masa depan untuk generasi kita.

Hujah-hujah tentang kita negara membangun dan perlu bekerja lebih kuat dan lebih masa untuk maju adalah dongeng. Dongeng kerana yang sibuk berhujah suruh kita kerja kuat ini selalunya dari mereka yang di atas, baik dalam hirarki kerajaan atau hirarki syarikat. Mereka yang di atas ini tidaklah pula bekerja lebih kuat dan lebih masa membanting tulang empat kerat seperti kita orang kebanyakan.

Kita mahu jadi maju seperti Jepun, tapi sanggupkah kita mengorbankan kebebasan individu dan hidup kekeluargaan dengan bekerja seperti robot atau lebih hina, hamba abdi?

Jerman juga maju, tetapi budaya kerja di sana langit dan bumi bezanya jika dibandingkan dengan Jepun. Suruh seorang Jerman bekerja lebih masa di hari Sabtu dan Ahad ini, pastinya hari Jumaat sebelumnya dia akan menyerahkan surat perletakan jawatan.

Hidup ini hanya sekali, maka bekerjalah dengan bijak untuk faedah diri sendiri dan orang yang kita sayang. Apa guna kerja kuat? Bila sakit dan mati kerana kerja terlebih kuat belum tentu lagi CEO atau Chairman syarikat kamu bekerja datang ziarah kubur.

Nota tambahan:

Dalam pos RM3.1 Bilion Untuk Bonus? Celah Gigi Je, ada pembaca yang mengatakan cadangan Syamsyul Fadzli Mat ialah untuk waktu anjal agar pejabat awam dibuka paling sekurang-kurangnya 12 jam sehari, bukan untuk penjawat awam bekerja 12 jam sehari. Betul dan aku juga tidak pernah kata penjawat awam perlu bekerja 12 jam sehari, aku cuma tulis pejabat awam dibuka paling kurang 12 jam sehari.

Tapi aku masih juga merujuk kepada Sepanyol yang bukan saja penjawat awam bekerja 7 jam sehari, malahan pejabat juga dibuka hanya 7 jam sehari, 5 hari seminggu.

Soalnya, kenapa perlu buka pejabat, khususnya kaunter selama 12 jam? Supaya senang orang awam bikin passport?

Benda ini berbalik kepada budaya kerja dan sistem membuat kerja itu. Kalau kita hendak buka pejabat sampai 12 jam maknanya kita sendiri yang bodoh. Kenapa perlu buka sampai 12 jam, adakah kerana kerumitan kerja yang perlu disiapkan? Kalau begitu, cari jalan memudahkan kerja tersebut.

“Tapi perlu buka kaunter 12 jam supaya senang saya mahu buat passport!”

Permudahkan cara membuat passport. Kita sibuk bercakap penggunaan teknologi, aplikasi atas talian dan bermacam lagi. Kenapa tidak difikirkan cara pembuatan passport di mana pemohon hanya perlu memohon secara on line dan cuma datang ke pejabat atau kaunter untuk mengambil passport yang sudah siap? Atau lagi mudah, passport yang sudah siap dihantar terus kepada pemohon, boleh?

Memang mengikut cadangan Syamsyul Fadzli Mat, tidak ada penjawat awam yang perlu bekerja 12 jam sehari. Waktu anjal mengikut Syamsyul Fadzli Mat ialah antara 7 pagi hingga 4 petang dan 11 pagi hingga 8 malam.

Tapi macam aku kata, robotkah kita ini? Tidak ada keluarga? Tidak ada kehidupan lain luar pejabat? Mahu suruh orang bekerja 11 pagi hingga 8 malam sudah dikira melanggar norma kehidupan seorang manusia.

Terus-teranglah, kenapa ramai dari kita yang sukakan waktu kerja pejabat berbanding waktu kerja anjal atau mengikut syif? Kerana kita tahu yang terbaik ialah bekerja di pejabat awal pagi hingga awal petang. Dari petang hingga ke malam kita lebih suka punyai masa sendiri kerana itulah norma kehidupan seorang manusia.




Source : http://tronohtranquility.blogspot.com/search?updated-max=2010-10-22T09%3A28%3A00%2B08%3A00&max-results=5

No comments:

Post a Comment